Media & Events

Kadar penembusan talian dail Internet semakin meningkat

11 Aug 2004, Berita Harian
KADAR penembusan talian dail Internet di Malaysia semakin meningkat apabila ia kini boleh didapati secara meluas di seluruh negara, dengan Kuala Lumpur mencatatkan kadar tertinggi manakala Sabah kecuali Labuan mempunyai kadar terendah, untuk tiga bulan pertama bagi tahun ini. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam Laporan Prestasi Industri 2003 yang diterbitkan baru-baru ini, berkata kadar penembusan talian dail Internet di Kuala Lumpur adalah tertinggi iaitu 36.3 peratus, meningkat daripada 32.8 peratus tahun lalu manakala Sabah mencatatkan kadar penembusan empat peratus yang mana ia meningkat sebanyak 0.4 peratus berbanding 3.6 peratus tahun lalu. “Selain daripada faktor ekonomi dan penduduk, kadar penembusan perkhidmatan multimedia dan komunikasi di Malaysia turut dipengaruhi oleh faktor geografi dan kepadatan penduduk. Masalah jurang digital semakin melebar juga disebabkan faktor profil geografi dan penduduk,” jelasnya. Laporan itu berkata, dengan kadar proses perbandaran yang pantas iaitu 63 peratus tumpuan penduduk lebih banyak di bandar raya besar seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang menyebabkan syarikat penyedia perkhidmatan komunikasi lebih gemar menyediakan perkhidmatan di kawasan berkenaan kerana lebih menguntungkan berbanding jika perkhidmatan berkenaan ditawarkan di luar bandar. Walaupun, faktor itu menjadi cabaran utama terhadap peningkatan kadar penembusan Internet di Malaysia namun secara keseluruhan bilangan pelanggan talian dail Internet mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada suku pertama tahun ini dengan mencatatkan 250,000 pelanggan baru dan melonjakkan bilangan pelanggan Internet di negara ini kepada tiga juta. Laporan itu menyebut, pasaran talian dail Internet diunjurkan berkembang secara kukuh untuk beberapa tahun akan datang berdasarkan bilangan generasi muda yang tinggi yang mana ketika ini dianggarkan 48 peratus daripada penduduk Malaysia berumur kurang daripada 19 tahun dan 23 peratus berumur antara 15 hingga 19 tahun. “Berdasarkan bilangan generasi muda yang besar dan mereka ini yang akan memasuki pasaran buruh dan pekerjaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan ini menjanjikan potensi besar untuk perkembangan pesat industri komunikasi dan multimedia, terutamanya sektor telefon selular, Internet dan berkaitan multimedia. “Ini kerana generasi ini adalah generasi yang membesar dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh kerana mereka sudah biasa menggunakan pelbagai perkakasan dan perisian ICT maka keperluan untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi dan multimedia adalah tinggi,” katanya. Sementara itu, SKMM menerima 343 aduan daripada pengguna tahun lalu yang mana sebahagian besar daripada aduan berkenaan berkaitan dengan penyedia perkhidmatan telefon selular. Antara aspek yang mereka tidak berpuas hati ialah jumlah bil perkhidmatan yang dikenakan kepada mereka berdasarkan panggilan kepada nombor yang tidak diketahui atau tidak digunakan hingga kepada jumlah yang tidak tepat. SKMM berkata, perkhidmatan jalur lebar TM Net Streamyx juga menjadi sasaran aduan orang ramai kerana perkhidmatan yang disediakan tidak memuaskan hati mereka dan SKMM sudah berjumpa dengan pegawai TM Net untuk mendapatkan penjelasan.
Share this article
Follow