Media & Events

#KAMERA2015 Diteruskan Sebagai Medan Dedah Kandungan Kreatif

13 Jun 2015, bernama
CYBERJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Kem Pembangunan Remaja Kreatif 2015 (#KAMERA2015) akan diteruskan pada masa akan datang kerana ia merupakan medan terbaik bagi pendedahan tentang pembangunan kandungan.

Ketua Pegawai Kandungan, Keselamatan dan Inovasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohd Ali Hanafiah Yunus berkata langkah itu juga dapat membantu menyediakan ekosistem industri pembangunan kandungan kreatif yang kondusif.

"Ini kerana bakat diasah sejak dari kecil lagi bagi memastikan kandungan yang dihasilkan berkualiti tinggi serta berdaya asing untuk dikomersialkan di pasaran antarabangsa," katanya ketika berucap menutup #KAMERA2015 di sini Sabtu.

#KAMERA2015 yang diadakan selama enam hari bermula 8 Jun lepas disertai 56 pelajar serta 14 guru pengiring dari 14 buah sekolah di seluruh negara yang juga merupakan pemenang Liga Kreatif 2014 peringkat negeri.

Mohd Ali berkata sepanjang kem berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai elemen termasuk pembikinan video pendek berkonsepkan khidmat mesej awam yang turut dibantu oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali berkata KL Converge 2015 akan berlangsung pada 27 hingga 29 Ogos ini di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur bagi menonjolkan Malaysia untuk menjadi hab media digital dan komunikasi di rantau ini.

KL Converge anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta SKMM turut menghimpunkan penggiat industri berkaitan seperti infrastruktur, aplikasi, jalur lebar, kandungan dan filem dari pelbagai negara.
Share this article
Follow