Media & Events

Kandungan tempatan imbangi limpahan budaya Barat

05 Jul 2003, Hizral Tazzif Hisham, Berita Harian
Malaysia bercadang membangunkan kandungan tempatan secara agresif menjelang 2008 menerusi rangka kerja Industri Kandungan Rangkaian (Networked Content Industry atau NCI) yang sedang dirangka sebagai langkah mengimbangi kandungan import dan pendedahan secara berlebihan budaya Barat menerusi pertumbuhan bilangan pengguna Internet dan peningkatan perolehan industri televisyen. Langkah seterusnya menjelang 2013 mensasarkan kadar penembusan terhadap teknologi baru seperti jalur lebar dan data wayarless mencecah kepada 50 peratus. Rangka kerja itu penting kerana ia dapat menyediakan kandungan tempatan yang memberi tumpuan kepada identiti kebangsaan dan budaya, pandangan, dan tema yang mengetengahkan ciri kebangsaan. Secara umumnya, industri kandungan di negara ini dikuasai oleh media Barat, kandungan tempatan hanya menguasai 12 peratus atau RM18 juta daripada keseluruhan perolehan berjumlah RM140 juta industri berkenaan di negara ini. Ia juga adalah selaras dengan hasrat Malaysia untuk muncul sebagai pusat industri kandungan global terutama dengan komposisi masyarakat yang berbilang kaum dan budaya, membangunkan keupayaan untuk bersaing pada peringkat global dan serantau dan membangunkan industri kandungan yang berdaya saing. Selain itu, ia bertujuan untuk mewujudkan masyarakat kaya maklumat, memudahkan capaian maklumat pada bila-bila masa dan di mana saja dengan kadar berpatutan serta memastikan keselamatan dan kemantapan persekitaran rangkaian. Industri Kandungan Rangkaian (NCI) merangkumi industri televisyen, filem, audio, Internet dan data wayarless. Sebelum ini, NCI hanya merangkumi televisyen dan radio/audio tetapi penyatuan teknologi kini membenarkan maklumat disebarkan pelbagai cara sama ada menggunakan Internet, wayarless, jalur lebar dan televisyen interaktif. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggariskan beberapa isu penting untuk membolehkan industri NCI berkembang dan seterusnya bersaing pada peringkat antarabangsa. “Antara cabaran yang dihadapi industri kandungan tempatan ialah kurangnya minat pelabur untuk melabur dalam industri berkenaan, kegiatan cetak rompak VCD, undang-undang yang tidak jelas, penguat kuasa kurang cekap dan proses kelulusan yang mengambil masa panjang. “Selain itu, tenaga kerja yang ada tidak dapat menguasai kemahiran yang diperlukan berdasarkan perkembangan teknologi digital ketika ini yang banyak mempengaruhi NCI, dana yang ada tidak sampai kepada pemain tempatan,” katanya dipetik daripada laman web www.mcmc.org.my, kelmarin. Isu mengenai kos capaian juga memainkan peranan kerana secara umumnya kos capaian di negara ini agak tinggi berbanding negara lain manakala kuasa beli pengguna terhadap komputer peribadi (PC) dan perkhidmatan jalur lebar agak rendah. Ini menyebabkan kadar penembusan PC di negara ini hanya 13 peratus manakala jalur lebar adalah tiga peratus. Kedua-dua aspek ini adalah penting kerana ia adalah alat untuk menyalurkan kandungan/maklumat kepada pengguna. Isu mengenai model perolehan juga adalah kritikal kerana ia amat penting bagi pembangunan kandungan interaktif dan elektronik tempatan. Ketika ini, tiada model mantap untuk menyokong pertumbuhan kandungan wayarles dan interaktif. Bagi industri interaktif, kurang lima peratus perolehan diagihkan kepada penyedia kandungan dan ini menyebabkan tidak ramai yang berminat.
Share this article
Follow