Media & Events

Karikatur badut: Pereka grafik dipenjara, denda

20 Feb 2018

IPOH: Seorang pereka grafik dihukum penjara sebulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah memulakan penghantaran komunikasi palsu, karikatur badut menyerupai pemimpin negara, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 40, diperintahkan menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan, jika gagal membayar denda itu. Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan mendapati tertuduh bersalah. Bagaimanapun Norashima membenarkan permohonan pihak pembelaan menangguhkan hukuman penjara dan melanjutkan jaminan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, namun meningkatkan jaminan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria dan Nazrul Nizam Zameri yang mengemukakan tujuh saksi pendakwaan, manakala Mohd Fahmi Reza yang diwakili peguam bela, Syahredzan Johan, memilih memberi keterangan bersumpah dalam kandang saksi.

Pihak pembelaan dalam rayuannya, memohon mahkamah mengenakan hukuman denda maksimum RM10,000 berdasarkan faktor mitigasi, antaranya kesalahan dilakukan adalah yang pertama dan tidak serius serta tiada mudarat berpanjangan kepada mana-mana pihak. Hukuman denda itu dianggap bersesuaian dengan pendapatan Mohd Fahmi Reza sebagai pereka grafik sebanyak kira-kira RM2,000 sebulan.

Bagaimanapun, Mohd Sophian dalam hujahnya membantah cadangan pihak pembelaan itu, sebalik berpendapat mahkamah tidak wajar bersimpati kerana sebelum melakukan kesalahan itu tertuduh sedar kesan perbuatan yang dilakukan. Beliau berhujah, hukuman denda hanya bersesuaian jika tertuduh mengaku bersalah ketika awal pertuduhan, tetapi kes itu menempuh perbicaraan penuh, bermula dari pendakwaan pada 10 Jun 2016. Pendakwaan juga memaklumkan, kesalahan membabitkan fitnah, penghinaan, penyebaran berita palsu menerusi internet kerap berulang dan ketika ini menjadi ikutan, yang memerlukan mahkamah mengenakan hukuman tegas sebagai iktibar kepada masyarakat.

Pada 10 Jun 2016, Mohd Fahmi Reza didakwa di mahkamah itu mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Dia didakwa memulakan penghantaran komunikasi palsu karikatur badut menyerupai pemimpin negara pada jam 12.31 tengah hari 8 Februari 2016, menggunakan perkhidmatan Facebook secara sedar dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pada 4 Januari lalu, tertuduh diarah membela diri bagi pertuduhan itu selepas Hakim Norashima mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Mohd Fahmi Reza diberi pilihan sama ada berdiam diri, memberi keterangan tanpa sumpah di luar kandang saksi atau memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi. Tertuduh memilih memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi dan kes kemudian diteruskan dengan perbicaraan sebelum tarikh 30 Januari lalu ditetapkan untuk keputusan kes tetapi ditangguh beberapa kali susulan hakim cuti sakit dan peguam mengerjakan umrah.

Share this article
Follow