Media & Events

Karnival Jalur Lebar 1Malaysia di Langkap hari ini

11 Feb 2012, Utusan Malaysia
TELUK INTAN 10 Feb. - Seramai 5,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik akan didedahkan dengan gaya hidup alam digital melalui Karnival Jalur Lebar 1Malaysia anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang akan diadakan di Langkap di sini selama dua hari bermula esok. Timbalan Pengarah SKMM Wilayah Utara, Mohd. Faizal Azizan berkata, selain berpeluang membeli produk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada harga istimewa, penduduk akan didedahkan dengan pelbagai aplikasi yang mampu membawa perhubungan sosial dan aktiviti ekonomi mereka ke tahap lebih tinggi. Katanya, setiap kampung di DUN Sungai Manik akan dibimbing untuk mewujudkan laman sosial Facebook berasaskan konsep NANI iaitu Notis Aduan Niaga Informasi bagi merapatkan hubungan antara penduduk dengan pemimpin setempat. "Semasa karnival ini juga, perusahaan kecil serta usahawan wanita yang ada di DUN Sungai Manik akan digalakkan mengembangkan perniagaan mereka di alam digital bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Menurut Mohd. Faizal, golongan belia yang paling banyak menggunakan Internet pula akan diberikan pendedahan tentang jenayah siber dan panduan melindungi diri daripada menjadi mangsa di alam siber seperti di laman Facebook. Selain itu katanya, penganjur turut mengadakan bengkel khas untuk usahawan kecil yang ingin mencari tapak di alam siber bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka. "Kami turut menyediakan pertandingan mewarna bertemakan ICT untuk kanak-kanak, pertandingan cabaran komputer dan kuiz ICT kepada pengunjung karnival tersebut dengan pelbagai hadiah menarik menanti pemenang," katanya. Beliau memberitahu, karnival itu juga diselitkan dengan acara Forum Perdana bagi mencantumkan peranan ICT dalam pembangunan ummah dan mini konsert nasyid bagi menghiburkan pengunjung yang hadir.
Share this article
Follow