Media & Events

Kembara Digital Malaysia 2019 bermula hari ini di Ipoh

27 Jul 2019, bernama

Kembara Digital Malaysia 2019 bermula hari ini di Ipoh

IPOH, 27 Julai (Bernama) -- Kembara Digital Malaysia (KDM) 2019 yang julung kali diadakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia berlangsung selama dua hari mulai hari ini di Meru, di sini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dijadual merasmikan KDM 2019 pada 10 pagi ini di Bulatan Sultan Azlan Shah yang pastinya menjanjikan pengalaman digital kepada pengunjung.

Karnival berteraskan digital bersempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia itu akan berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam dan tiada bayaran masuk dikenakan.

Kira-kira 50 pempamer terdiri daripada penyedia perkhidmatan jalur lebar, pengeluar/pengedar perkakasan dan perisian ICT serta agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri akan mengambil bahagian sepanjang dua hari KDM.

Bagi peminat sukan elektronik, jangan lepaskan peluang menyertai pertandingan 'E-Sport FIFA 19' selain perlumbaan dron serta tidak ketinggalan tayangan perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah di pentas utama pukul 9 malam ini.

Aktiviti bersama keluarga turut diadakan antaranya 'face painting/buskers'; pertandingan karaoke; pertandingan mewarna dan melukis dan bagi 'kaki' membeli-belah dalam talian, jangan lepaskan peluang mendapatkan baucar RM10 daripada Shopee yang terhad kepada 1,000 pengunjung.

Antara objektif penganjuran KDM adalah untuk menyampaikan serta meningkatkan kesedaran rakyat mengenai faedah infrastruktur jalur lebar serta kepentingannya, memberi pendedahan teknologi digital kepada orang ramai, mewujudkan peluang pekerjaan baharu seterusnya menggalakkan penglibatan dalam ekonomi digital.

KDM juga bertujuan menjadi platform kepada orang ramai untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh agensi kerajaan.

Apa tunggu lagi, 'Moh kome, ghamei-ghamei (Mari kita, ramai-ramai)' ke KDM 2019.
Share this article
Follow