Media & Events

Keputusan kes sebar karikatur badut ditangguh

30 Jan 2018, berita harian
IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan sehingga 7 Februari ini untuk keputusan kes seorang pereka grafik yang dituduh memulakan penghantaran komunikasi palsu karikatur badut menyerupai pemimpin negara melalui Facebooknya.
Hakim Murtazadi Imran menetapkan tarikh berkenaan selepas kes membabitkan tertuduh, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 30, disebut di hadapannya hari ini. 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nazrul Nizam Mohd Zameri memaklumkan kepada mahkamah bahawa Hakim Norashima Khalid yang mendengar kes berkenaan sebelum ini sedang bercuti sakit.

Mohd Fahmi Reza didakwa pada 10 Jun 2016 mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 
Dia dituduh melakukan kesalahan berkenaan pada jam 12.31 tengah hari, 8 Februari tahun lalu menggunakan perkhidmatan Facebook secara sedar dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. 
Tertuduh yang diwakili peguam, Syahredzan Johan sebelum ini memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di dalam kandang saksi. 
Mahkamah ketika itu mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan ada kes prima facie terhadap pereka grafik berkenaan dan menetapkan hari ini sebagai tarikh keputusan.
Terdahulu pada 6 Jun 2016, Mohd Reza turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mengikut seksyen sama kerana memuat naik imej karikatur pemimpin negara di laman sosial Instagram miliknya dengan niat menyakitkan hati pada 31 Januari sebelum itu.
Bagi kes berkenaan, dia mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Share this article
Follow