Media & Events

Kerajaan Tambah 500,000 Unit Komputer Riba 1Malaysia

17 Oct 2012, Bernama
KUALA LUMPUR, 16 Okt  (Bernama) -- Sebanyak 500,000 unit komputer riba akan diagih sebagai tambahan kepada sejuta unit yang diperuntuk di bawah Program Komputer Riba 1Malaysia.
 
 Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata tambahan itu melibatkan perbelanjaan kira-kira RM1.5 bilion.
 
 "Setelah mengambil kira keperluan dan permintaan yang tinggi daripada orang ramai, sejumlah 500 ribu unit komputer riba telah ditambah menjadikan jumlah keseluruhan 1.5 juta unit," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat Selasa.
 
 Program Komputer Riba 1Malaysia diumum selaras pelancaran Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi pada 2010.
 
 Salang turut memaklumkan sehingga September lepas, sebanyak 754,446 unit Komputer Riba 1Malaysia telah diagihkan di seluruh negara.
 
Menyentuh isu pemberian rebat RM200 untuk pembelian telefon mudah alih pintar, beliau berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan ia dilakukan secara adil dan saksama kepada 1.5 juta belia.

Persidangan Dewan bersambung esok.
 
Share this article
Follow