Media & Events

Kerajaan tidak cadang gubal akta khas tangani isu blog

22 Oct 2007, Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 22 Okt. - Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi tidak bercadang untuk menggubal akta khas bagi menangani masalah penulisan blog yang negatif, kata Timbalan Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor. Beliau berkata, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga bercadang untuk bekerjasama dengan penulis blog bagi membangunkan satu kod etika yang boleh diguna pakai oleh penulis blog di Malaysia. “Peruntukan undang-undang sedia ada dan kod etika yang akan dibangunkan adalah mencukupi untuk menangani isu blog yang tidak bertanggungjawab,” katanya menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Shaziman berkata, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu juga memainkan peranan penting dalam membantu memupuk sikap kawal selia kendiri di kalangan rakyat dan beberapa program kesedaran awam telah diadakan. Beliau berkata, individu yang menyalahgunakan Internet bagi menyebarkan kandungan yang bersifat palsu, mengancam atau yang jelik akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, katanya. “Selain itu, ia juga boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 dan Kanun Keseksaan,” katanya. Menjawab soalan Markiman Kobiran (BN-Hulu Langat), Shaziman berkata, pada tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan terhadap 11 laman web yang tidak mematuhi peraturan dan memenuhi syarat. “Kesemua 11 laman web itu diarah tutup dan sehingga kini sebanyak dua kes dibawa ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya. - Bernama
Share this article
Follow