Media & Events

Kerjasama Polis-SKMM banteras judi di Internet

12 Mar 2012, Kosmo
KUALA LUMPUR — Polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang merangka pelan tindakan penguatkuasaan bagi menghalang laman web judi antarabangsa diakses secara online melalui premis atau talian Internet persendirian. Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pelan tindakan ini perlu bagi mengekang kegiatan sindiket perjudian secara dalam talian daripada berkembang. "SKMM bertanggungjawab menyekat sesuatu laman web daripada diakses dan sekiranya SKMM dapat mengesan mana-mana laman web yang mendatangkan aktiviti tidak sihat, polis akan minta ia disekat serta-merta,” katanya. Beliau berkata, risikan polis mendapati kebanyakan laman web perjudian antarabangsa yang dapat dikesan adalah dari Hong Kong, Macau dan Taiwan menjadikan kegiatan tersebut sukar untuk dihentikan. "Polis sukar menghentikan operasi dari akar umbi kerana ia berpangkalan di negara yang menghalalkan kegiatan perjudian tersebut malah menjadi halangan untuk mematikan ”ibu” laman judi berkenaan.” katanya. — BERNAMA
Share this article
Follow