Media & Events

Keterangkuman Digital Mestilah Meliputi Penggunaan ICT Secara Bermakna, Kata Ahmad Shabery

18 Nov 2013, Bernama
BANGKOK, 18 Nov  -- Malaysia tegas menyokong bahawa keterangkuman digital haruslah meliputi penggunaan ICT dan jalur lebar secara yang bermakna.

Keterangkuman digital haruslah lebih daripada penggunaan semata-mata, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, pada sesi Meja Bulat Peringkat Menteri pada Sidang Kemuncak Hubungan Asia Pasifik 2013 di sini hari ini.

Memberi kemudahan kepada seseorang tidak mencukupi, dan dalam zaman yang kompetitif ini, perlu dicari jalan untuk membuat orang menggunakan kemudahan itu sebaik-baiknya, katanya.

Ahmad Shabery berkata pembuat dasar dan pengawal selia mestilah bertanggungjawab bagi pelaburan besar yang mereka terus galakkan bagi pelancaran prasarana serta sejumlah besar sumber yang digembleng untuk menjadikan ICT sesuatu yang boleh didapati dengan meluas di negara masing-masing.

"Jika kita mahu menerima pakai tema 'Smartly Digital', kita mestilah bijak di mana hendak menumpukan sumber-sumber dan bagaimana menukar usaha kita menjadi hasil yang bermakna dan boleh dipertanggungjawabkan," katanya.

Menteri itu berkata Malaysia sedar tentang perlunya diukur nilai daripada dasar keterangkuman digital dan pengukurnya ialah sama ada "semua usaha bersama kita boleh menjadikan teknologi sebahagian penting kehidupan rakyat hingga mereka tidak lagi hairan dengan apa yang teknologi boleh lakukan.

"Dengan perkataan lain, sama ada warga kita membesar dengan teknologi digital atau tidak.

"Bal lampu, misalnya, bukanlah sesuatu yang kita fikirkan sangat, kecuali bila kita perlu menukarnya. Tetapi, di perkampungan terpencil di mana-mana di dunia yang tidak mendapat bekalan elektrik langsung, bal lampu adalah teknologi tinggi.

"Tidak lama dahulu negara-negara kita di sini menganggap bal lampu sebagai teknologi tinggi," tegas beliau.

Ahmad Shabery berkata pada peringkat kemajuan teknologi global ini, "kita perlulah mengukur berapa banyakkah ini semua menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita, berapa banyak orang benar-benar menggunakan teknologi dengan cara yang bermakna yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat secara positif dan wajar.

"Inilah yang diperlukan untuk menjadikan komuniti benar-benar terangkum dalam zaman digital ni," tegas Shabery.
Share this article
Follow