Media & Events

Laporan pelaksanaan 5G kini di fasa terakhir - Gobind

14 Oct 2019, bernama
KUALA LUMPUR, 14 Okt -- Pasukan Petugas Khas 5G Negara kini berada pada fasa terakhir dalam melengkapkan laporan mengenai pelaksanaan 5G sebelum menyerahkannya kepada kerajaan dalam suku keempat tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengkaji dahulu laporan terbabit sebelum ia dibawa ke Kabinet.

“Kita akan mengkaji laporan itu sebelum bawa ke Kabinet untuk membolehkan pelaksanaan perkhidmatan 5G berada pada tahap yang terbaik,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Teh Kok Lim (PH-Taiping) yang ingin tahu rancangan kementerian dalam kesediaan pelaksanaan teknologi jalur 5G.

Selain sesi libat urus, Gobind berkata kementerian melalui MCMC juga telah melaksanakan Projek Demonstrasi 5G Malaysia (5GDP) bertujuan memudah cara, membina dan memupuk pembangunan kes-kes penggunaan 5G yang berpotensi dalam persekitaran sebenar dan konteks yang lebih luas untuk mengembangkan ekosistem 5G.

Menjawab soalan tambahan Teh mengenai rancangan kerajaan untuk melengkapkan 3G dan 4G sementara beralih kepada 5G, Gobind berkata kerajaan akan membangunkan dua teknologi tersebut secara serentak bersama perkhidmatan 5G.

“Kerajaan ambil pendekatan bahawa walaupun perlu membaik pulih dan menaik taraf 4G dan 3G, dalam masa yang sama kita perlu lihat kepada masa depan untuk kita bersedia dengan 5G, jadi kita buat keputusan membangunkan semua teknologi ini secara serentak.

“Ini membolehkan kita membina satu ekosistem yang akan lebih bersedia untuk kita menghadapi cabaran dunia digital dalam masa tedekat,” jelasnya.

Malah menurut Gobind, kerajaan telah melancarkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sebagai usaha memastikan kawasan luar bandar dan terpencil tidak menghadapi masalah kekurangan infrastruktur teknologi termasuk 3G dan 4G.

NFCP dilancarkan bulan lepas bagi penyediaan liputan berkelajuan tinggi yang komprehensif dan jaringan digital yang berkualiti di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar dalam tempoh lima tahun.
Share this article
Follow