Media & Events

Lebih 21,000 maklumat diterima daripada orang awam menerusi platform 3R

11 Nov 2019, bernama
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Enam minggu selepas platform 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Diraja) diwujudkan pada 17 Ogos lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 21,296 maklumat dan aduan daripada orang awam.

Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia, platform itu membolehkan rakyat Malaysia memberi maklumat tentang penyebaran kandungan yang mengandungi unsur sensitif untuk memastikan tindakan dapat diambil terhadap pihak berkaitan demi keharmonian negara.

Perkara itu dinyatakan kementerian itu dalam jawapan di Dewan Rakyat yang dibacakan Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Ini berikutan masalah sesak nafas dialami Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith ketika menghadiri sesi soal jawab lisan pada kira-kira 10.30 pagi yang memaksanya dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kementerian itu berkata daripada jumlah maklumat diterima SKMM, antaranya 19,968 masih dalam proses pengesahan manakala 259 maklumat telah diambil tindakan.

"Tindakan yang diambil termasuk memulakan siasatan terhadap penyebaran maklumat berkenaan, laporan penyalahgunaan dan penurunan kandungan dengan kerjasama pihak penyedia platform media sosial serta merujuk kepada pihak berkuasa lain untuk tindakan susulan," katanya.

Ia sebagai jawapan kepada soalan Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong) berhubung langkah yang diambil untuk memastikan pengguna internet tidak menyalahgunakan isu-isu perkauman dan keagamaan untuk kepentingan politik hingga menjejaskan keharmonian negara.

Dalam pada itu, kementerian itu berkata penelitian SKMM mendapati 80 peratus daripada maklumat yang diterima mempunyai kandungan berbaur perkauman manakala 20 peratus menjurus kepada isu agama.

Pada masa sama, katanya SKMM giat mendidik rakyat Malaysia supaya menjadi pengguna media sosial yang berhemah.

"Melalui program Klik Dengan Bijak (KDB) yang diperkenalkan pada 2012, SKMM berusaha membudayakan penggunaan internet secara berhemah menerusi tiga teras utama iaitu keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab yang menitikberatkan kawal selia kendiri.

"Kini, program tersebut telah menjangkaui hampir lima juta rakyat Malaysia, tambahan pula portal sebenarnya.my membolehkan rakyat Malaysia menyemak kesahihan maklumat yang diterima sebelum berkongsi dengan orang lain," katanya.

Platfom 3R diadakan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-220 6262 atau e-mel [email protected] dalam usaha mengelak sebarang penularan berita tidak benar berkaitan isu sensitif.
Share this article
Follow