Media & Events

Liputan 100% telefon bimbit akhir tahun

04 Apr 2007, Utusan Malaysia
KUANTAN 4 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjangkakan liputan untuk semua telefon bimbit bakal mencapai tahap 100 peratus apabila program T3 dilancarkan hujung tahun ini. Pengerusinya, Datuk Dr. Halim Shafie berkata, melalui program berkenaan, syarikat-syarikat telekomunikasi (telko) akan bekerjasama menyediakan perkhidmatan di kawasan yang pada masa ini tiada sebarang liputan melalui perkongsian prasarana. Kata beliau, liputan telefon bimbit di seluruh negara kini sudah mencapai tahap 85 peratus dan hanya sebahagian kecil kawasan terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak yang masih di luar liputan. Secara keseluruhan, kata beliau, 47 kawasan telah dikenalpasti memerlukan pembinaan struktur pemancar telekomunikasi di seluruh negara bagi membolehkan tahap liputan 100 peratus diperoleh. "Pada dasarnya, dalam perbincangan yang diadakan dengan SKMM, kesemua telko di negara ini bersetuju secara prinsip untuk berkongsi prasarana di kawasan pendalaman kerana beranggapan cara itu lebih menjimatkan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Pejabat Wilayah Timur SKMM dan Pusat Pengawasan Spektrum Negara (Nasmoc), di sini hari ini.
Share this article
Follow