Media & Events

Malaysia Ada Pakar Untuk Tangkis Pencerobohan Siber - Ahmad Shabery

12 Nov 2013, Bernama
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Malaysia mempunyai pakar yang sentiasa bekerja menjaga keselamatan persekitaran siber bagi memastikan sistem pentadbiran dan institusi-institusi utama dalam negara tidak diceroboh anasir luar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pada masa sama, agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan siber seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Cyber Security Malaysia juga sentiasa membina sistem pertahanan untuk melindungi persekitaran siber di negara ini, katanya.

Ahmad Shabery mengakui Malaysia sentiasa menghadapi ancaman serangan siber dari luar yang sengaja cuba melumpuhkan operasi sesebuah institusi dalam negara.

"Kalau saya berada di papan besar SKMM, saya dapat melihat betapa banyak cubaan pencerobohan yang berlaku. Ia macam di suasana bilik operasi Star Wars.

"Alhamdulillah, di bawah kepimpinan agensi yang ada, kita boleh pelihara keselamatan dan kesihatan persekitaran siber kita setakat ini," katanya semasa menggulung pembahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Katanya walaupun tiada satu jaminan terhadap keselamatan dalam persekitaran siber yang semakin canggih, setiap individu mesti mengambil langkah-langkah perlu untuk melindungi diri sendiri daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Ahmad Shabery berkata kementerian itu juga akan menimbang kemungkinan memperkenalkan 'score card' mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi di negara ini.

Katanya ini bagi membolehkan pengguna membuat perbandingan perkhidmatan yang ditawarkan sesuatu syarikat daripada aspek liputan, kadar perkhidmatan dan caj-caj lain untuk kepuasan pengguna.
Share this article
Follow