Media & Events

Malaysia Anjur Persidangan Antarabangsa APIRA Ke-10

24 Sep 2013, Bernama
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Sejumlah 120 pengawal selia dan pakar Internet berhimpun di ibu negara Malaysia mulai Selasa bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Gabungan Penyelidikan Internet Asia Pasifik (APIRA) ke-10, yang berlangsung selama dua hari di sini.

Bertema 'Next Generation Users-Much The Same, Yet Statistically Different', persidangan itu menjadi platform peserta berkongsi kaji selidik dan statistik berkaitan pengguna Internet di negara masing-masing.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mewakili negara pada persidangan itu.

Antara pengalaman Malaysia yang dikongsi pada sesi hari ini ialah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dan Gaya Hidup Digital, program 'Klik Dengan Bijak' serta beberapa kajian berkaitan Internet oleh institusi akademik tempatan.

Setiausaha Agung APIRA Koay Hock Eng, yang juga Ketua Bahagian Kajian Industri SKMM, berkata badan itu berharap mampu menarik penyertaan lebih banyak negara Asean bagi membolehkan kajian Internet dari setiap negara dikongsi bersama dan dibandingkan.

"APIRA adalah sebuah persatuan pengawal selia Internet yang membawa bersama-samanya kajian universiti dan penyelidikan pasaran oleh organisasi bagi memfokus kepada penggunaan Internet serta perkara yang berkaitan dengannya," katanya kepada Bernama.

Ini merupakan kali kedua Malaysia menganjurkan persidangan itu. Kali pertama ialah pada 2007.

Peserta yang menghadiri persidangan itu adalah dari Hong Kong, Macau, China, Taiwan, Singapura dan Korea Selatan.

APIRA adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang ditubuh pada 2003 dengan matlamat mempertingkat komunikasi dan perbandingan di rantau Asia-Pasifik berkaitan data kaji selidik penggunaan Internet, mendalamkan penyelidikan metodologi tentang pengumpulan data dan analisis penggunaan Internet, memudahkan kerjasama dalam kalangan negara dan rantau Asia Pasifik berhubung kajian penggunaan Internet serta menggalakkan pembangunan serantau penyelidikan Internet.

Anggota APIRA termasuk SKMM, Pusat Penerangan Rangkaian Internet China, Agensi Keselamatan Internet Korea (Kisa), Persatuan Penyelidikan Internet Macao, Persatuan Penyedia Perkhidmatan Internet India, Persatuan Kafe Siber India dan Yahoo!SouthEastAsia, Singapura.
Share this article
Follow