Media & Events

Malaysia bakal dihubung secara digital sepenuhnya

06 Dec 2017, Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan infrastruktur jalur lebar dan tanpa wayar yang baharu, apabila siap kelak, akan membolehkan Malaysia dihubungkan secara digital sepenuhnya dengan mempunyai akses meluas kepada ketersambungan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. Beliau berkata inisiatif itu membuktikan ekonomi Malaysia semakin berkembang pada masa akan datang dan memastikan ia mencapai potensi penuh dalam memberi faedah ekonomi yang terhasil daripada akses sejagat kepada jalur lebar berkelajuan tinggi. "Manfaat ini telah terbukti di pasaran seluruh dunia yang termasuk pertumbuhan pesat dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar pengambilan pekerja yang lebih tinggi, tahap pendidikan lebih baik, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan awam lain untuk rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini. Salleh berkata infrastruktur baharu itu dirancang secara strategik bagi menyampaikan matlamat kerajaan untuk memastikan perkhidmatan internet jalur lebar tetap berkelajuan tinggi di seluruh negara secara ‘Dua Kali Kelajuan dan Separuh Harga’, yang menjadi dasar kerajaan susulan pengumuman Pelan Fiber Seluruh Negara pada Mac tahun ini. "Kerajaan positif bahawa ia merupakan kepentingan strategik dan nasional bagi objektif ini, dengan urusan Perkongsian Awam Swasta (PPP) akan menjadi mekanisme terbaik untuk merealisasikan aspirasi kerajaan Malaysia bagi perluasan pembangunan Ekonomi Digital Malaysia. "Ini akan menyokong inisiatif lain kerajaan seperti Zon Perdagangan Bebas Digital Malaysia, yang dibuka dengan kerjasama Alibaba Group China baru-baru ini. "Urusan perkongsian PPP ini juga disasarkan untuk mengecilkan jurang digital di antara penduduk bandar dan luar bandar di Malaysia selain meningkatkan penyertaan penduduk luar bandar dalam ekonomi digital seperti yang berlaku di penempatan Felda," katanya. Salleh berkata Broadnet Network Sdn Bhd (Broadnet) dilantik untuk melaksanakan Pelan Fiber Seluruh Negara bagi membina infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi yang memenuhi permintaan dengan menghubungkan rumah dan perniagaan dalam pasaran kurang menerima perkhidmatan di kawasan bandar dan luar bandar. Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Kewangan akan memegang Saham Emas dalam Broadnet, yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. "Sebagai Penyedia Perkhidmatan Borong yang ditetapkan, Broadnet akan melengkapi para pemain runcit sedia ada bagi membolehkan mereka menyampaikan pelbagai perkhidmatan digital menjana nilai yang boleh diakses menerusi internet untuk memastikan pasaran berkenaan dapat menikmati semua manfaat ekonomi digital, merealisasikan impian kerajaan supaya sumbangan ekonomi digital kepada KDNK negara mencapai 20 peratus menjelang 2020, "katanya. - Bernama
Share this article
Follow