Media & Events

Malaysia Bolot Lima Anugerah Pada WSIS 2016 Di Geneva

06 May 2016

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Malaysia meraih lima anugerah dalam empat kategori pada Sidang Kemuncak Dunia mengenai Forum Masyarakat Bermaklumat (WSIS 2016) tahun ini.

Projek "Kemaman Smart Community" dan "Eco2" ialah dua daripada lima anugerah yang diraih oleh Malaysia semasa upacara penyampaian hadiah WSIS 2016 yang berlangsung di Geneva, Switzerland dari 2 hingga 6 Mei 2016.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pemenang kategori E-alam sekitar Eco2 memaparkan satu-satunya cecair penyejuk ICT di dunia yang boleh diperbaharui, mesra alam, mampan dan tidak toksik yang mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon sebanyak separuh.

Eco2, teknologi penyejukan pusat data hijau generasi akan datang, dibangunkan oleh pengeluar teknologi hijau Malaysia, Green Data Centre LLP (GDC).

SKMM bertindak sebagai "Technology Kickstarter" manakala Malaysian Technical Standards Forum Bhd (MTSFB) di bawah SKMM dan Kumpulan Kerja ICT Hijau berfungsi sebagai pemudah bagi membangunkan konsep untuk Eco2.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Green Data Centre LLP diwakili oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Matthew Rajendra.

Sementara itu, Projek Kemaman Komuniti Bestari, inisiatif oleh SKMM, mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ia disenaraikan sebagai satu daripada lima projek yang memperoleh undian tertinggi daripada 27 projek yang disenaraikan di bawah Kategori Infrastruktur Maklumat dan Komunikasi.

Selain itu, Projek Kemaman Smart Community juga akan disenaraikan dalam "WSIS Stocktaking: Success Stories 2016" iaitu e-penerbitan ITU.

Inisiatif Komuniti Bestari diperkenalkan pada awal 2015 di Kemaman, Terengganu. Objektif utamanya ialah untuk meningkatkan taraf kehidupan dan sosio-ekonomi masyarakat menggunakan ICT sebagai platform untuk menyediakan akses kepada maklumat dengan lebih cepat dan efektif.

Salah satu program utama di bawah inisiatif ini ialah sistem pengurusan banjir yang memanfaatkan ICT dalam pengurusan banjir dan bencana.

Universiti Multimedia (MMU) memenangi dua anugerah dalam kategori E-sains. Kedua-dua penyertaan ialah sistem diagnostik dibantu komputer yang direka untuk membantu doktor dan ahli radiologi.

Yang pertama ialah untuk mengesan kanser payudara melalui analisis pengimbas MRI manakala yang kedua ialah untuk mengesan strok iskemia di peringkat awal.

CyberSecurity Malaysia merangkul anugerah kelima. Anugerah itu ialah dalam kategori Kerjasama Antarabangsa dan Serantau melalui projek bertajuk "Securing the Cyberspace through International Collaboration of the Computer Emergency Response Teams".

Forum WSIS dianjurkan bersama oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) dan Persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).

Forum itu ialah platform untuk penyelarasan aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak berkepentingan, pertukaran maklumat dan pengetahuan, perkongsian amalan terbaik dan perkongsian awam/swasta mengenai mencapai sasaran pembangunan.

Share this article
Follow