Media & Events

Malaysia-China Akan Tandatangan Draf Protokol Sarang Burung Walit

08 Apr 2012, Bernama
MUAR, 8 April (Bernama) -- Malaysia akan menandatangani draf protokol syarat kemasukan sarang burung walit ke China tidak lama lagi bagi memulihkan eksport komoditi mewah ke negara itu yang terhenti sejak beberapa bulan lalu. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata tiga syarat utama pemulihan eksport barangan itu ke China telah dipersetujui dalam rundingan antara kerajaan kedua-dua buah negara baru-baru ini. Katanya antara syarat-syarat itu ialah pengeksport sarang burung Malaysia mesti memiliki sijil Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) bagi mengesan lokasi sarang burung walet bermasalah dengan menggunakan gelombang frekuensi radio untuk menentukan sarang burung berkenaan. Dua lagi syarat, katanya adalah sijil penanda kesihatan veterinar daripada Jabatan Vaterinar dan sijil kesihatan daripada Kementerian Kesihatan. "Langkah tersebut bagi memastikan produk sarang burung yang hendak dieksport ke China bukan sahaja daripada burung yang sihat malah ia selamat dimakan," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Kawasan Parlimen Bakri di Maktab Rendah Sains MARA, Bakri, Muar, di sini. Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan upacara menandatangani perjanjian pembelian sarang burung walit antara syarikat Duta Sialin Biotechnology Sdn Bhd dengan lapan buah pertubuhan peladang kawasan dan negeri (PPK & PPN) di negara ini. Pertubuhan itu adalah PPK Pagoh, Johor; PPK Tanjung Karang, Selangor; PPK Manjung Selatan dan PPK Manjung Selatan, Perak; PPK Bandar Bahru, Kedah; PPK Gua Musang, Kelantan; PPN Terengganu, Tereangganu; dan PPN Sabah. Beliau berkata penghentian kemasukan sarang burung Malaysia ke China telah mengakibatkan ramai pengusaha menghadapi masalah. "Harga pasaran sarang burung telah jatuh menjunam daripada RM4,000 hingga RM5,000 kepada hanya RM1,500 sekilogram. Ramai menghadapi masalah untuk membayar balik pinjaman bank," katanya. Menerangkan lebih lanjut mengenai syarat baru itu, Noh berkata hanya produk yang mematuhi syarat berkenaan sahaja akan dibenar menggunakan logo Malaysia Best, logo yang membenarkan hanya barang berkualiti sahaja dibenar dieksport. Ia bertujuan mengelakkan Malaysia dijadikan sebagai transit kepada sarang burung negara lain yang ditegah masuk ke pasaran China, katanya.
Share this article
Follow