Media & Events

Malaysia jadi ahli Majlis Pentadbiran Operasi Pos

12 Oct 2012, Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Malaysia dipilih menjadi ahli Majlis Pentadbiran Operasi Pos (POC) pada Kongres Kesatuan Perkhidmatan Pos Universal (UPU) Ke-25 di Doha, Qatar, semalam.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, majlis itu bertanggungjawab menangani isu berkaitan operasi teknikal sektor perkhidmatan pos antarabangsa, di samping mempromosi produk terkini dan mengemukakan syor kepada negara anggotanya berkaitan standard teknologi dan proses lain.

"Kemenangan ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan negara anggota UPU terhadap sumbangan dan kepimpinan Malaysia dalam pelbagai jawatankuasa dan kumpulan kerja kongres berkenaan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, program kerja majlis berkenaan memberi fokus terhadap usaha membantu pengendali perkhidmatan pos memodenkan dan menaik taraf produk mereka.

"Dengan pemilihan ini, Malaysia akan dapat memainkan peranan lebih besar dalam membentuk masa depan sektor perkhidmatan pos global dan menjadi sebahagian penting daripada dunia digital yang semakin berkembang.

"Malaysia juga menyatakan sokongan dengan memberikan sumbangan RM300,000 kepada projek domain dotpost iaitu agenda utama di bawah Perbadanan Internet untuk Penetapan Nama dan Nombor (ICANN)," jelasnya.

UPU Ke-25 yang bertemakan Dunia Baharu, Strategi Baharu dirasmikan pada 24 September lalu.

Kongres ini menghimpunkan para peneraju dan pemegang kepentingan dari 192 negara anggota Kesatuan Perkhidmatan Pos Universal untuk membuat keputusan tentang masa depan sektor perkhidmatan pos global setiap empat tahun.

Share this article
Follow