Media & Events

Malaysia Sasar Wujudkan Masyarakat Cekap Digital Menjelang 2020

13 Aug 2013, Bernama
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Berdasarkan jumlah pengguna Internet yang begitu ramai di negara ini, gaya hidup digital dijangka menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat Malaysia menjelang 2020.

Sejajar dengan itu, Ekspo Gaya Hidup Digital 2013 (DLE2013) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur dari 23 hingga 25 Ogos berperanan mengemudi Malaysia ke arah melahirkan sebuah masyarakat yang lebih cekap dalam bidang digital.

Ini bukan sahaja untuk memastikan mereka terus menggunakan kemudahan itu untuk menjalankan tugas dan bersosial, tetapi juga dalam menjalani kehidupan harian, termasuk berkaitan kesihatan dan perubatan, kata ketua pegawai kawal selia industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Toh Swee Hoe.

Beliau memberitahu Bernama bahawa 17 juta daripada 28 juta penduduk Malaysia adalah pengguna Internet.

"Ekspo Gaya Hidup Digital Malaysia merupakan langkah pertama ke arah memperkenalkan gaya hidup digital kepada rakyat Malaysia dan menggalakkan mereka menggunakan media sosial secara positif, bukan sebagai medium untuk memaparkan kenyataan negatif," katanya.

Ekspo yang tidak mengenakan bayaran masuk itu adalah anjuran bersama SKMM, Persatuan Kebangsaan Teknologi Komunikasi Maklumat Malaysia (Pikom) dan CommTechAsia Sdn Bhd.

Pengerusi Pikom Woon Tai Hai berkata DLE2013 mempamerkan trend teknologi terkini, peralatan gaya hidup dan aplikasi yang bertujuan memperkaya gaya hidup rakyat negara ini.

"Ekspo ini dibahagi kepada beberapa segmen seperti rangkaian mudah alih dan sosial, aplikasi dan aksesori mudah alih, penyelesaian e-kerajaan, e-dagang, penyelesaian perisian dan antivirus serta peralatan gaya hidup," katanya.
Share this article
Follow