Media & Events

Malaysia Teroka Potensi Teknologi Dron Dalam Penghantaran Pos - SKMM

03 Dec 2015, bernama
CYBERJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Malaysia sedang meneroka potensi penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron dalam sistem penghantaran bagi industri pos dan penghantaran barangan.

Menurut Ketua Digital Ekosistem Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, banyak negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Singapura kini sedang melakukan kajian rintis penggunaan UAV dalam sistem pos dan penghantaran mereka.

Berucap pada sesi rangkaian bersama SKMM dan Persatuan Syarikat-syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC) di sini hari ini, beliau berkata teknologi UAV terkini mempunyai keupayaan membawa beban maksimum sekilogram dengan jarak 10 kilometer.

Berkongsi pengalaman melihat kajian rintis Swiss Post di Switzerland mengenai keupayaan dron dalam penghantaran ketika berhadapan dengan empat musim di negara berkenaan, Mohd Ali berkata syarikat tersebut yakin bahawa sistem baharu itu dapat dilaksanakan secara komersial pada Julai tahun depan.

Beliau berkata peserta industri tempatan terutama AMEC wajar berbincang mengenai kebolehupayaan negara untuk turut meneroka potensi sistem penghantaran baharu berkenaan.

"SKMM, sebagai agensi pengawal selia, sedia untuk membawa agensi berkaitan termasuk Jabatan Penerbangan Awam untuk mengkaji penggunaan dron di negara ini dalam sistem penghantaran," katanya.

Mohd Ali dalam pada itu berkata SKMM akan mengetuai perbincangan dalam menggubal garis panduan keselamatan untuk industri pos dan penghantaran tidak lama lagi bagi menangani ancaman pengganas.

Merujuk kepada insiden penemuan serbuk yang mencurigakan dihantar kepada ke pejabat Menteri Kesihatan melalui khidmat Pos Laju pada bulan lepas, beliau berkata ia adalah sesuatu perkara yang perlu dipandang serius.

Polis bagaimanapun mengesahkan serbuk putih yang disyaki berbahaya itu hanyalah merupakan serbuk Vitamin C.

"Buat permulaan garis panduan keselamatan untuk industri pos dan penghantaran yang melibatkan fasiliti kritikal perlu digubal dan SKMM akan mengetuai perbincangan mengenai perkara ini," kata Mohd Ali.

Katanya perbincangan tersebut akan disertai bersama AMEC dan agensi keselamatan yang lain dan dijangka pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat.

"Dengan kewujudan garis panduan keselamatan kita berharap program keselamatan yang lebih menyeluruh dapat diwujudkan bagi memastikan keselamatan pekerja, pelanggan dan aset pemain industri," katanya.
Share this article
Follow