Media & Events

Maxis peruntuk RM500j aktif khidmat 4G LTE

13 Dec 2012, Harian Metro

MAXIS Berhad (Maxis) memperuntukkan RM500 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk membangun dan mengaktifkan perkhidmatan jalur lebar mudah alih generasi baru 4G, Evolusi Jangka Panjang (LTE) di negara ini.

Kesediaan itu berikutan syarikat peneraju telekomunikasi terbabit menerima peruntukan spektrum 2600 MHz bagi servis 4G LTE daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 5 Disember lalu.


Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das berkata, pihaknya bersedia melancarkan rangkaian terbabit merentasi beberapa kawasan dalam negara menjelang tahun depan.

“Maxis menjalankan percubaan 4G LTE selama dua tahun di samping ujian menggunakan peranti komersial demi memastikan pelanggan kami dapat menikmati pengalaman jalur lebar lancar di mana saja mereka berada.


“Di samping itu, Maxis menandatangani perjanjian kerjasama membina prasarana sepunya dengan Redtone dan U Mobile,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.


Beliau berkata, perkongsian rangkaian itu penting untuk mengoptimumkan pelaburan industri sekali gus memperkukuh spektrum LTE untuk menawarkan pelanggan pengalaman akses 4G LTE lebih baik.

Perkhidmatan 4G LTE Maxis bakal menyediakan kelajuan pindah turun 10 kali lebih pantas berbanding rangkaian 3G dan turut menyokong capaian 3G HSPA+ sedia ada.

Share this article
Follow