Media & Events

MCMC, MBM Jalin Kerjasama Strategik

18 Apr 2017, bernama
CYBERJAYA, 18 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) menjalin kerjasama strategik untuk pemupukan budaya bertanggungjawab dan pengunaan ruang siber secara beretika dalam kalangan belia Malaysia.

Memanfaatkan rangkaian MBM yang kukuh dengan kira-kira tiga juta belia menerusi anggota organisasinya, MCMC berharap untuk menyebarluaskan amalan baik warga digital dalam kalangan pengguna komunikasi dan multimedia di Malaysia.

Pelancaran kerjasama itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, di sini, hari ini.

"Saya percaya melalui kerjasama dengan MBM, MCMC akan dapat memanfaatkan peluang itu untuk mendekati kumpulan sasar ini. Saya juga percaya golongan belia kita mempunyai keupayaan untuk menyampaikan mesej kepada rakan sebaya tentang penggunaan teknologi secara positif dan kuasa internet, katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Turut hadir ialah Presiden MBM Mua'amar Ghadafi Jamaluddin, Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Sokongan MCMC Dr Mazlan Ismail dan Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan MCMC Zulkarnain Mohd Yasin.

MCMC turut menyasarkan untuk menjalin kerjasama dengan semua Majlis Belia Negeri (MBN) di masa depan dalam menjalankan program untuk meningkatkan kesedaran itu.
Share this article
Follow