`Berdiri' megah di Pendant Hut, Laban Rata dekat sini, peti surat berkenaan sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai peti surat yang berada di altitud tertinggi di negara ini.
 

Terletak pada aras 3,289 meter di atas paras laut, peti surat berkenaan boleh ‘dihubungi’ melalui pendakian selama empat hingga enam jam dari Taman Kinabalu yang juga dikenali sebagai pintu masuk utama ke Gunung Kinabalu, gunung yang berketinggian 4,095 meter.
 

Inisiatif unik itu mendapat sokongan penuh daripada pengawal selia sektor pos negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan menggabungkan elemen-elemen perkhidmatan pos dan pelancongan.


Apa yang menarik, satu cap dakwat khas yang memaparkan lukisan Gunung Kinabalu dan aras ketinggiannya akan tertera pada poskad atau surat yang akan diposkan melalui peti surat berkenaan.
 

Peti surat itu pastinya menjadi tarikan baharu untuk para pelancong apabila mereka boleh memperingati pendakian bersejarah dengan menghantar surat atau poskad pada ketinggian tersebut.
 

Secara tidak langsung, ini meletakkan Gunung Kinabalu sebaris dengan Gunung Fuji, Jepun dan Jungfrau di pergunungan Swiss, Switzerland yang turut memiliki perkhidmatan peti surat di kedudukan altitud tertinggi masing-masing.


Praktikalnya, seorang posmen khusus ditugaskan untuk memungut surat dan poskad dari peti surat tersebut pada pukul 12 tengah hari, setiap hari bekerja dan kemudiannya dibawa ke Pejabat Pos Ranau untuk diproses.


Baru-baru ini, bertempat di Taman Kinabalu di kaki Gunung Kinabalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari hadir melancarkan peti pos berkenaan sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap usaha Pos Malaysia dan SKMM itu.


Menurut beliau, peti surat berkenaan mampu menaikkan lagi nama Gunung Kinabalu sebagai destinasi pendakian utama dunia memandangkan gunung berkenaan didaki lebih 50,000 orang pendaki setiap tahun.
 

Atas usaha berkenaan, beliau mahu Pos Malaysia menerokai lokasi-lokasi baharu untuk diletakkan peti surat berkenaan yang bukan hanya mampu menaikkan nama syarikat berkenaan, malah melonjakkan sektor pelancongan negara.


Antara cadangan beliau adalah di tanah penghujung benua Asia di Tanjung Piai, Johor atau di penghujung tanah Borneo di Simpang Mengayau, Kudat serta di bawah laut di pulau-pulau ternama di Semporna, Sabah.
 

“Usaha meletakkan peti surat di Gunung Kinabalu cukup membanggakan 17,000 orang warga kerja Pos Malaysia. Oleh yang demikian, kita juga mahu Pos Malaysia menjadikan usaha berkenaan untuk menambah baik pengurusan syarikat dari semasa ke semasa.


"Kita mahu Pos Malaysia meningkatkan kualiti khususnya bagi sektor perkhidmatan di luar bandar di Sabah dan Sarawak," katanya ketika berucap dalam majlis terbabit.
 

Yang turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim; Ketua Pegawai Kawal Selia dan Industri SKMM, Toh Swee Hoe; Pengerusi Taman-Taman Sabah, Datuk Seri Dr. Tengku Zainal Adlin Tengku Mahmood dan Pengarah Mountain Torq Sdn. Bhd., Wilfred Tok.


Penyampaian pengiktirafan rekod berkenaan telah diserahkan kepada Jailani oleh Pegawai Eksekutif MBOR, Zulhairi Md. Zin.


Dalam pada itu, Jailani memberitahu, kementerian juga mendapati terdapat perubahan besar dalam sistem penyampaian pos setelah empat tahun program pembangunan pos luar bandar dilaksanakan.
 

Katanya, pelantikan 220 orang posmen komuniti yang terdiri daripada anak-anak muda dan warga emas tempatan telah meningkatkan mutu serahan mel luar bandar.
 

Selain itu ujarnya, penyediaan lapan unit Pejabat Pos Bergerak juga telah memberi pelbagai jenis perkhidmatan di lebih 50 kawasan luar bandar di seluruh Sabah.


Kini, perkhidmatan serahan pos telah dinikmati oleh penduduk di Pulau Banggi di Kudat, Pulau Sebatik, Semporna, Pensiangan, Tambunan, Kota Marudu serta kepulauan di Semporna.
 

"Di kawasan Parlimen Ranau, kementerian telah menyediakan 13 orang posmen komuniti, sembilan di Kundasang, tiga di Keranaan dan seorang di Penginatan," jelasnya.


Dalam pada itu, Azlan yang ditemui memberitahu, sebelum ini Pos Malaysia telah meletakkan peti surat di Gunung Mat Cincang, Langkawi, Kedah pada aras 700 meter.

"Kita akan terokai untuk melakukan perkara sama di kawasan pergunungan lain di negara ini untuk menaikkan nama Pos Malaysia dan juga mempromosikan tempat-tempat menarik yang terdapat di negara ini," tambahnya.


Turut sama menghargai usaha Pos Malaysia dan SKMM itu ialah Tengku Zainal Adlin yang sekian lama memperjuangkan usaha-usaha memelihara dan memulihara khazanah alam di negeri ini.
 

Menurutnya, Sabah memiliki khazanah alam yang luas dan perlu diterokai melalui usaha-usaha penggalakan pelancongan seperti dilakukan Pos Malaysia itu.


"Jika di kepulauan di Semporna, memang ada banyak lokasi sesuai untuk diletakkan peti surat di bawah laut. Ini akan menjadi daya tarikan baharu kepada penyelam-penyelam," katanya