Media & Events

MCMC Bentuk ISF Untuk Tangani Isu Keselamatan Maklumat Dan Rangkaian

23 Aug 2004, Bernama
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menubuhkan Forum Perkongsian Maklumat (ISF) dengan pelbagai Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) dan agensi-agensi lain bagi menangani isu-isu keselamatan maklumat dan rangkaian di Malaysia. Dalam satu kenyataan, MCMC berkata forum itu akan mengusahakan "Whitelist" (pangkalan data bagi alamat IP tempatan yang dianggap bebas spam atau virus), Dasar Penggunaan Internet Boleh Diterima dan Dasar Penelitian Internet bagi ISP untuk diguna pakai. Usaha-usaha ini adalah antara inisiatif bagi menambah baik saluran komunikasi dan persefahaman bersama antara ISP dalam menguruskan insiden keselamatan maklumat dan rangkaian yang jika tidak ditangani akan menyebabkan penyebaran maklumat yang perlahan dan pengendalian tindak balas insiden keselamatan yang tidak efektif di negara ini, kata MCMC. Menurut suruhanjaya itu, matlamat ISF adalah untuk mengumpulkan bersama pihak-pihak berkaitan ke dalam satu forum bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka untuk memberi faedah kepada prasarana rangkaian Malaysia dan membentuk mekanisme perkongsian maklumat yang efektif. MCMC menyatakan ia mahu menggalakkan kerjasama antara pemilik dan pengendali rangkaian yang berbeza dan di kalangan komuniti Internet yang bagi tempoh jangka panjang akan meningkatkan analisis keselamatan, tindak balas serta pemulihan dan yang lebih penting menguruskan rangkaian dengan lebih baik. "Ia juga menjadi matlamat kami dalam menubuhkan ISF untuk mengurangkan kerugian akibat serangan keselamatan internet kerana ISF akan menjadi satu medan bagi menghalang eksploitasi, kerosakan dan gangguan sistem utama dan bagi memastikan kebolehpercayaan rangkaian dan intergriti," kata suruhanjaya itu. Bagi tempoh jangka panjang, MCMC menyatakan ISF akan melengkap dan menyokong satu daripada 10 matlamat negara dalam sektor komunikasi dan multimedia yang digariskan oleh kerajaan bagi memastikan kebolehpercayaan dan integriti rangkaian dan keselamatan maklumat. ISF diterajui oleh MCMC. Anggotanya terdiri daripada Bahagian Keselamatan ICT Unit Pemodenan dan Pembangunan Pentadbiran Awam Malaysia (MAMPU), Pusat Tindak Balas Kecemasan Keselamatan ICT Negara (NISER), TIMENet, NTT MSC, Jaring, TMNet, Celcom, Maxis, DiGi dan Malaysian Technical Standards Forum Bhd.
Share this article
Follow