Media & Events

MCMC Cari Jalan Kawal Mel Elektronik Tidak Relevan

07 Aug 2003, Bernama
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mencari jalan bagi mengawal mel elektronik yang tidak sesuai atau relevan yang lebih popular sebagai "spam". Dalam satu kenyataan hari Khamis, MCMC berkata suruhanjaya itu sudah mengeluarkan kertas perbincangan bertajuk Peraturan Mengenai Mesej Komersial Yang Tidak Diminta, bagi melaksanakan pelan tindakan yang menggunapakai pendekatan menyeluruh dalam menangani masalah spam. Suruhanjaya itu berkata kertas itu memuatkan hasil kajian mengenai spam yang antara lain, termasuk perlunya mendefinasikan apa itu spam, masalah yang berbangkit daripada spam dan keupayaan untuk mengenal pasti pesalah. MCMC berkata suruhanjaya itu mahu melihat penyertaan semua pihak seperti pengguna, penyedia perkhidmatan dan Forum Pengguna dan Kandungan dalam menangani isu spam ini. Suruhanjaya itu berkata walaupun mengikut Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menyebut bahawa Internet tidak boleh ditapis, MCMC sebagai pengawal selia perkhidmatan rangkaian dan aktiviti, bertanggungjawab terhadap pembangunan positif industri terbabit. MCMC mempelawa orang ramai untuk memberi ulasan dan maklumbalas mengenai kertas perbincangan itu yang boleh didapati daripada laman web MCMC di www.mcmc.gov.my sebelum 3 Sept, 2003. Cadangan bertulis boleh dihantar menerusi e-mel kepada [email protected] atau kepada MCMC, Aras 11, Menara Dato' Onn, PWTC, 45, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur.
Share this article
Follow