Media & Events

MCMC : My Community Heroes Beri Nilai Tambah Kepada Kualiti Hidup Komuniti

08 Mar 2018, bernama
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Pertandingan My Community Heroes anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang memberi pendedahan kepada guru dan pelajar mengenai keusahawanan sosial juga memberi impak kepada kualiti kehidupan komuniti.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata kemahiran dan ilmu yang dipelajari menerusi pertandingan tersebut boleh dimanfaatkan bagi menyelesaikan sebarang isu dalam komuniti sekaligus mendatangkan manfaat kepada negara.

"Pertandingan itu juga sebagai menyokong objektif pelaksanaan inisiatif komuniti pintar bagi meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti dengan memanfaatkan ICT ( teknologi maklumat dan komunikasi)," kata kenyataan itu.

Pertandingan yang julung kali diadakan di Kemaman itu, melibatkan empat sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Kerteh, SMK Mak Lagam dan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.

Pada pertandingan berkenaan, SMK Chukai yang menghasilkan projek penyediaan ruang belajar dan santai di blok asrama sekolah muncul sebagai juara.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut berlangsung di Dewan SMK Chukai dan disempurnakan oleh Pengarah MCMC Wilayah Timur, Md Rusli Ahmad.

Turut diraikan pada majlis berkenaan adalah pemenang pertandingan Majalah Sekolah Digital 2017 peringkat daerah Kemaman.
Share this article
Follow