Media & Events

MCMC Sambut Baik Gesaan Menteri Untuk Turunkan Harga Perkhidmatan Telekomunikasi

16 Feb 2015, bernama
CYBERJAYA,  16 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik gesaan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek kepada syarikat-syarikat telekomunikasi agar menurunkan harga perkhidmatan komunikasi sambil menyifatkan langkah berkenaan memanfaatkan pengguna untuk jangka masa panjang.
 
Pengerusi MCMC, Dato’ Sri Dr. Halim Shafie berkata, harga berpatutan untuk perkhidmatan komunikasi seperti pakej jalur lebar bukan sahaja akan mengurangkan beban rakyat bahkan juga meningkatkan kadar pengambilan pakej sekaligus memastikan rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah tidak akan ketinggalan dalam era digital ini.  Dengan kadar harga jalur lebar yang berpatutan, ia akan mewujudkan lebih banyak permintaan untuk kandungan lantaran merangsang pertumbuhan industri kandungan tempatan.
 
Sehubungan itu, kata beliau, MCMC akan melaksanakan kajian semula terhadap kadar runcit dan akan bekerjasama dengan pihak industri bagi membangunkan harga pakej jalur lebar yang berpatutan demi manfaat jangka panjang pengguna.
 
“MCMC juga bercadang untuk mengadakan siri perbincangan dengan pihak industri pada suku kedua tahun ini mengenai kawal selia harga runcit bagi memastikan peraturan-peraturan adalah selaras dengan perkembangan semasa, sesuai dengan sektor Komunikasi dan Multimedia yang kian berkembang,” jelas Dr. Halim.
Share this article
Follow