Media & Events

MCMC terima RPT dari Telekom, Maxis

06 Feb 2003, Utusan Malaysia
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima Rancangan Perniagaan Terperinci (RPT) dari dua penerima lesen spektrum itu, Telekom Malaysia Bhd. (Telekom) dan Maxis Communications Bhd. (Maxis). Penerimaan itu menandakan pelaksanaan perkhidmatan telefon Mudah Alih Antarabangsa 2000 (IMT-2000) menerusi spektrum generasi ketiga (3G) semakin hampir. MCMC dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, pihaknya berpuas hati dengan kedua-dua RPT dari anak syarikat Telekom, TM Cellular Sdn. Bhd. dan anak syarikat Maxis itu yang dikenali sebagai UMTS (Malaysia) Sdn. Bhd. ``Kami sedang melakukan penilaian yang berhati-hati dan terperinci sebelum membuat sebarang keputusan dan pengumuman mengenainya. ``RPT mereka ini memuaskan, bersepadu serta mampu menyakinkan MCMC tentang kesediaan untuk menjalankan operasi sesudah menerima lesen spektrum 3G (Generasi Ketiga) bernilai RM50 juta setiap satu oleh kerajaan bagi melaksanakan servis IMT-2000,'' kata MCMC. Tahun lalu, Telekom dan Maxis telah diumumkan sebagai penerima lesen spektrum mengendalikan rangkaian telekomunikasi tanpa wayar 3G di negara ini dengan `mengalahkan' tiga syarikat telekomunikasi lain iaitu Celcom (Malaysia) Berhad, TIMESat Sdn. Bhd. (milik TIMEdotCom Berhad) dan E-Touch Sdn. Bhd. (syarikat dari Sarawak). Beliau berkata, RPT berkenaan sangat penting bagi menentukan sama ada penerima-penerima lesen tersebut mampu untuk menunaikan `janji-janji' yang telah dikemukakan dalam laporan rancangan itu. Walau bagaimanapun, pihaknya, ujar beliau, menyerahkan kepada penerima lesen berkenaan untuk menentukan bilakah masa yang sesuai dan terbaik untuk melaksanakan teknologi masa hadapan itu di pasaran Malaysia. Namun, tambahnya, kerajaan, pada masa yang sama, telah menetapkan tarikh sasaran pelaksanaan sistem spektrum 3G itu iaitu sebelum bulan Mac tahun ini kepada kedua-kedua syarikat itu.
Share this article
Follow