Media & Events

Menara Bestari Net mudahkan penduduk, pelajar akses internet

29 Jul 2012, Sinar Harian

LANGKAP - Pemasangan menara pemancar telekomunikasi, Menara Bestari Net di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sagor, di sini yang mendapat kelulusan Sirim tidak memberikan kesan jangka panjang dan pendek kepada penduduk sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, ada pihak yang mengatakan menara itu akan memberi kesan radiasi dalam jangka masa tertentu tidak berasas.

Menurutnya, setiap menara pemancar itu perlu mendapatkan kelulusan daripada Sirim sebelum ia didirikan dan syarat yang ketat telah dikenakan oleh Sirim bagi menjamin keselamatan penduduk sekitar.

"Sebenarnya menara yang dipasang itu memberikan kesan radiasi yang lebih rendah berbanding radiasi pada telefon bimbit.

“Kenyataan ini dibuktikan dengan kajian pakar dan menara yang didirikan di kawasan sekolah itu juga tidak mempunyai kesan radiasi yang tinggi seperti yang pernah diwar-warkan oleh pihak tertentu.

Tambahnya, kenyataan yang dikeluarkan pihak terbabit tidak sepatutnya berlaku kerana ia membuatkan penduduk di kawasan sekitar rasa khuatir dan bimbang tentang keselamatan mereka.

"Kenyataan yang menakut-menakutkan penduduk tidak wajar berlaku. Jika benar ada pihak mahu memainkan isu berkenaan menara ini, mereka sebenarnya menunjukkan tindakan kurang bijak,” katanya.

Zainol berkata, di daerah Hilir Perak sahaja sebanyak 39 buah menara sudah dipasang dan 13 lagi dalam proses termasuk di dalam kawasan SMK Dato' Sagor yang akan dimanfaat bersama seluruh sekolah di kawasan Langkap.

Beliau difahamkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memanggil pihak sekolah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan juga Persatuan Guru Ibu Bapa (PIBG) bagi menjelaskan isu berkenaan menara pemancar telekomunikasi terbabit.

Katanya, pemasangan ini penting untuk sekolah luar bandar khususnya di Langkap untuk memudahkan mereka mengakses internet dengan lebih sempurna berbanding sebelum ini.

"Menara Bestari Net ini akan memeulakan operasinya tidak lama lagi dan penduduk di sekitar termasuk warga SMK Dato' Sagor akan menikmati penggunaan internet sempurna," katanya.

Share this article
Follow