Media & Events

Menara telekomunikasi tidak beri risiko kesihatan kepada masyarakat sekitar - MCMC

06 Nov 2019, bernama
PUTRAJAYA, 6 Nov -- Pembinaan menara telekomunikasi berdekatan kawasan perumahan tidak berupaya membawa risiko kesihatan kepada masyarakat sekitar termasuk golongan warga tua atau kanak-kanak, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam kenyataan hari ini, suruhanjaya itu menjelaskan bahawa setiap pembinaan atau penempatan menara telekomunikasi dibuat mengikut garis panduan sedia ada termasuk jarak antara menara telekomunikasi dengan kawasan perumahan.

Kadar pancaran Frekuensi Radio Medan Elektromagnet (RF-EMF) dari menara telekomunikasi di negara ini adalah terkawal pada setiap masa iaitu di bawah had yang disyorkan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection (ICNIRP).

Menurut MCMC, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merumuskan bahawa melalui kajian-kajian yang telah dilaksanakan terbukti bahawa pendedahan EMF oleh struktur pemancar telekomunikasi terhadap sistem biologi tidak menjejaskan kesihatan.

Fakta itu turut disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyatakan bahawa tiada bukti saintifik yang meyakinkan untuk mengaitkan dakwaan risiko radiasi terhadap kesihatan daripada struktur pemancar telekomunikasi, jelasnya.

Menurut MCMC, ujian tahap pancaran frekuensi radio (RF) kendalian Agensi Nuklear Malaysia (ANM) di seluruh negara juga mendapati radiasi di kawasan sekitar pemancar adalah amat rendah dan berada pada tahap selamat.

"Orang awam diminta merujuk kepada sumber yang sahih atau pakar bertauliah yang diiktiraf kerajaan Malaysia bagi mengelakkan salah faham berkenaan isu RF-EMF ini," katanya.

MCMC turut memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa memantau pembinaan, penempatan serta tahap radiasi yang dihasilkan oleh pemancar komunikasi di Malaysia.
Share this article
Follow