Media & Events

MSAP : Permintaan jalur lebar kediaman, perniagaan meningkat 18 hingga 20 peratus - Gobind

08 Oct 2019, bernama
KUALA LUMPUR, 8 Okt -- Permintaan untuk perkhidmatan jalur lebar tetap kediaman dan perniagaan meningkat sebanyak 18 peratus hingga 22 peratus bagi tempoh Ogos tahun lepas hingga Ogos tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata ia dicapai hasil pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP).

Jelasnya, dengan pelaksanaan mekanisme tersebut juga, bilangan langganan jalur lebar tetap dengan kelajuan muat turun lebih daripada 100 Mbps meningkat lapan kali ganda kepada 1.2 juta pelanggan pada 2018.

"Hasil daripada usaha yang sama, pengguna juga menikmati perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan yang lebih tinggi sebanyak tiga kali ganda," katanya ketika sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang mahu kementerian menyatakan kejayaan utama Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sejak dilancarkan pada tahun lepas dan fokus atau projek utama dalam jangka masa pendek akan datang, khasnya untuk 2020.

Mengulas lanjut, Gobind berkata pelaksanaan MSAP telah memanfaatkan lebih 1.5 juta pelanggan jalur lebar apabila dibandingkan dengan harga sebelum pelaksanaannya.

Dengan penurunan harga ini katanya, pelanggan pakej permulaan kini boleh menikmati penjimatan sebanyak RM50 sebulan atau RM600 setahun.

Selain itu, katanya mulai September 2019, Telekom Malaysia juga telah menurunkan harga perkhidmatan Streamyx untuk pelanggan sedia ada kepada RM69 sebulan daripada harga pakej dahulu iaitu RM110-RM160.

"Dengan penurunan harga ini, pelanggan Streamyx boleh menikmati penjimatan sebanyak RM40 ke RM90 sebulan atau RM480–RM1,080 setahun kepada sekurang-kurangnya 1.2 juta pelanggan di seluruh Malaysia," katanya.

Sementara itu, Gobind berkata perancangan bagi projek NFCP telah bermula sejak suku kedua tahun ini dan sedang melalui proses kelulusan dalaman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan dijangka dilaksanakan bermula tahun depan.

Antara projek utama yang telah dirancang dan akan dilaksanakan di bawah NFCP adalah pembinaan menara komunikasi baharu di 153 lokasi di seluruh negara bagi penyediaan liputan perkhidmatan selular 3G dan 4G.

Selain itu, rancangan pembinaan menara komunikasi baharu di lebih kurang 500 lokasi di seluruh negara bagi penyediaan liputan perkhidmatan selular 3G dan 4G, penyambungan rangkaian gentian optik kepada 100,000 premis bagi meningkatkan kualiti dan kelajuan jalur lebar di pinggir bandar dan luar bandar dan rancangan penyediaan dan penambahbaikan liputan selular dan/atau jalur lebar yang dianggarkan di 151 kawasan penempatan Orang Asli di seluruh negara.
Share this article
Follow