Media & Events

Ops Dadu ditingkatkan banteras judi komputer

27 Jul 2012, Utusan Malaysia

KUANTAN 26 Julai - Polis Pahang meningkatkan Ops Dadu bagi membanteras kegiatan perjudian berkomputer terutama yang berselindung di sebalik perniagaan kafe siber.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, pihaknya merampas 2,644 unit komputer bernilai RM2,219,308 yang diubah suai menjadi mesin judi dengan melibatkan 213 premis di seluruh daerah ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh operasi tersebut, seramai 1,256 individu ditahan selain wang tunai berjumlah RM104,108 dirampas.

"Berbanding sepanjang tahun lalu, hanya 2,299 unit komputer bernilai RM1,871,600 dirampas dengan wang tunai RM32,400.

"Dalam serbuan ke atas 194 premis itu juga, seramai 981 individu dipercayai pengguna dan penjaga premis yang menjalankan kegiatan perjudian internet haram ditahan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini semalam.

{C}

Katanya, serbuan yang dilakukan tersebut meliputi 11 daerah di sini dan ada antara premis terlibat telah beberapa kali diserbu namun tetap degil dan kembali beroperasi.

Narenasagaran berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas individu terlibat sama ada yang berjudi, penjaga premis, pemegang lesen kafe siber atau pemilik premis yang membenarkan bangunannya disewa untuk aktiviti tersebut.

"Kita berharap pihak mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas mereka yang terbabit dalam aktiviti perjudian ini terutamanya bagi kes berulang.

"Kita telah meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik premis berkenaan dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk membatalkan lesen perniagaan selain pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan pemotongan talian internet," katanya.

Menurut beliau, dalam tempoh enam bulan tahun ini juga sebanyak 163 permohonan dibuat kepada TNB dan MPK bagi tujuan pemotongan bekalan elektrik dan pembatalan lesen dan 161 permohonan kepada SKMM untuk pemotongan talian internet.

"Berbanding tahun lalu hanya 11 premis dibatalkan lesen perniagaan dan dipotong bekalan elektrik sahaja," katanya.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini sebanyak 35 premis telah diambil tindakan pemotongan elektrik dan pembatalan lesen perniagaan.

Share this article
Follow