PERSIDANGAN KL Converge 2014 yang akan berlangsung dari 17 hingga 19 September ini bakal memberi tumpuan kepada perkembangan industri kreatif dan animasi tempatan.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata KL Converge yang julung kali diadakan itu akan memberi peluang kepada penggiat seni visual dan animasi dalam negara menimba pengetahuan daripada pengamal industri kreatif antarabangsa. 

"Kita bawa beberapa nama besar dalam industri kreatif seperti Namik Malhotra, pakar kesan khas filem Transformer dan Roger Christian dari filem Star Wars yang akan berkongsi pengalaman serta pengetahuan mereka," katanya ketika ditemubual menerusi rancangan Ruang Bicara di Bernama TV, semalam.  

Katanya, melalui perkongsian daripada guru setiap lapangan ini, industri kreatif dan animasi negara khususnya boleh mempelajari kaedah untuk menembusi pasaran luar dan tidak hanya tertumpu kepada pasaran tempatan. 

Beliau berkata, pengamal industri kreatif dan animasi negara perlu mengambil  peluang ini untuk bekerjasama dengan golongan profesional antarabangsa bagi menghasilkan karya dengan idea yang boleh menembusi pasaran antarabangsa terutama di Hollywood,  Bollywood dan pasaran Asean. 

Beliau yang juga jurucakap Jawatankuasa Pengelola KL Converge 2014 berkata persidangan itu juga akan memberi fokus kepada perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dan sistem digital dalam negara. 

Katanya, sistem digital bagi stesen televisyen negara terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pembikinan kandungan serta fasa melengkapkan prasarana transmisi yang sedang dijalankan dan akan mula beroperasi seawal suku pertama tahun hadapan. 

Sementara itu, katanya dari segi kadar literasi penggunaan teknologi ICT di  Malaysia, negara berada di tangga keempat dunia yang mempunyai 'warga digital' atau gaya hidup digital bagi kadar penggunaan internet jalur lebar dan aplikasi internet dalam tempoh lebih dari lima tahun di kalangan masyarakat. 

KL Converge 2014 yang dianjurkan SKMM bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bertujuan menjadi pusat tumpuan atau hab media digital, teknologi ICT, komunikasi aplikasi serta industri kreatif di rantau Asean. 

Orang ramai turut berpeluang ke KL Converge 2014 secara percuma namun mereka dinasihatkan meneliti awal jadual dan mendaftar untuk setiap sesi di laman web acara itu di www.klconverge.com.