Media & Events

Pelabelan sendiri produk komunikasi bermula 1 Jun

24 Feb 2015, bernama

Datuk Seri Dr.Halim Shafie ketika berucap pada pelancaran Program Pelabelan Sendiri (SLP) di sini hari ini.

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melaksanakan sepenuhnya Program Pelabelan Sendiri (SLP) bagi produk komunikasi dan multimedia yang mempunyai sijil sah bermula 1 Jun ini.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata program itu yang dilaksana bersama Sirim QAS International dapat mengurangkan kos perniagaan secara signifikan bagi pemegang sijil dan prinsipal serta pengeluar.

SLP akan menggantikan program pelabelan sedia ada yang menuntut produk sah ditampal dengan label dalam bentuk pelekat yang dikawal dan dikeluarkan Sirim QAS International. Proses sedia ada renyah, mengambil masa dan mahal. Mungkin disebabkan faktor-faktor ini banyak produk dalam pasaran tidak dilabelkan.

"Dalam tempoh dua tahun lalu, dianggar antara 30 hingga 40 peratus peralatan komunikasi dilabel dengan tepat, manakala antara tiga dan 24 peratus ditampal dengan label yang salah," katanya selepas pelancaran program itu, di sini hari ini.

Halim berkata pembekal atau prinsipal mereka boleh menjalankan pelabelan menggunakan kaedah pelabelan permukaan atau elektronik.

SKMM juga memberi tempoh bertenang bermula hari ini hingga 31 Mei 2015 kepada semua pemegang sijil dan prinsipal serta pengeluar untuk bertukar daripada label zahir kepada SLP.

SKMM melaksanakan kempen 'Check Your Label' (Semak Label Anda) bagi mendidik pengguna memeriksa produk komunikasi mereka untuk memastikan sama ada produk itu mempunyai sijil sah dan tulen.

Sementara itu mengulas mengenai gesaan pengurangan caj perkhidmatan yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi, Halim berkata perkara itu masih dikaji.

"Kami meneliti perkara ini bersama-sama syarikat telekomunikasi dan kajian meliputi faktor kos mereka," katanya. 

 
Share this article
Follow