Media & Events

Pelan Pembangunan 4P mampu majukan daerah Tapah

04 Mar 2012, Utusan Malaysia
TAPAH 3 Mac - Kawasan Parlimen Tapah akan dimajukan menggunakan pelan pembangunan khas berkonsepkan 4P iaitu pendidikan, pekerjaan, perniagaan dan perumahan dalam masa terdekat. Ahli Parlimennya, Datuk M. Saravanan berkata, pembangunan dalam empat bidang itu cukup penting bagi membolehkan Tapah mencapai tahap pembangunan yang setaraf dengan kawasan sekitarnya seperti Tanjung Malim dan Bidor. Beliau yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berkata, pelan itu dijangka mampu membawa Tapah mencapai tahap pembangunan setanding dengan daerah lain. "Saya akan panggil pakar perancang bandar dalam masa terdekat bagi membincang dan merangka pelan pembangunan khas untuk memajukan Tapah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Netbook 1Malaysia kepada lebih 900 pelajar dari empat sekolah menengah bagi Parlimen Tapah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tapah, di sini hari ini. Sehingga kini, hampir 90 peratus iaitu 6,500 daripada keseluruhan 6,537 pelajar sekolah menengah di Parlimen itu telah menerima Netbook 1Malaysia. Mengulas lanjut, Saravanan berkata, pembangunan Tapah yang agak kebelakang berbanding daerah lain telah membuatkan hampir 10,000 penduduk kawasan itu berhijrah ke bandar seperti di Ipoh dan Kuala Lumpur. "Kita tiada kolej komuniti, institut latihan belia, pusat tuisyen dan kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) walaupun mempunyai tanah yang begitu luas. "Ketika orang sibuk bercerita tentang gaji minimum, di Tapah masih ada yang bergaji RM200 dan RM300 sebulan dan ada ibu bapa yang anak mereka bekerja di bandar, masih bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," tegasnya.
Share this article
Follow