Media & Events

Pelawa penggemar teknologi sertai acara D3

05 Aug 2014, Harian Metro

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Media Prima Digital, mempelawa pereka, pembangun aplikasi, usahawan dan perseorangan kreatif untuk menyertai acara D3.

Ketua Pegawai Pembangunan Industri SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah berkata, buat julung kalinya, penyelesaian dan aplikasi yang inovatif dikhaskan untuk pengguna luar bandar di bawah kategori komuniti yang terhubung.

Beliau berkata, matlamat SKMM adalah untuk merapatkan jurang digital antara komuniti bandar dan luar bandar.

“Kami akan memilih idea yang paling berinspirasi, merealisasikannya dan melaksanakannya dalam projek jalur lebar komuniti kami,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Acara D3 akan berlangsung pada 23 hingga 24 Ogos ini di Wakalab, Media Prima Digital, Jalan Riong, Bangsar. D3 adalah landasan terbaik untuk mereka yang berminat dalam membangunkan aplikasi digital untuk pelbagai penyelesaian inovatif serta membawa dimensi baru dalam industri media tanah air.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Media Prima Digital, Lam Swee Kim berkata, pihaknya menyasarkan rekaan aplikasi inovatif yang boleh memberi impak selari dengan perkembangan media digital masa kini dan industri hiburan tanah air.

“Kami mahu terus konsisten dalam mencari sumber idea yang lebih segar. Gabungan idea kreatif bersama kepakaran teknologi bakal mencetuskan pengalaman baharu dalam dunia media,” katanya.

Hadiah keseluruhan lebih RM60,000 serta bantuan dermasiswa oleh SKMM menanti bakal pemenang. Tambah menarik, D3 turut menawarkan peluang kerjasama membangunkan aplikasi digital baru bersama SKMM dan Media Prima Digital.

Share this article
Follow