Media & Events

Peluang orang muda

15 May 2013, Harian Metro

Golongan muda mempunyai peluang yang luas dalam bidang industri Teknologi Maklumat (ICT) daripada perniagaan dalam talian sehingga perniagaan runcit ICT. Perniagaan dalam talian adalah trend masa kini dan sangat menguntungkan.

Mengikut laporan tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) baru-baru ini, pasaran membeli-belah dalam talian pada 2014 dijangka meningkat kepada RM5 bilion. Hal ini berkait rapat dengan peningkatan kadar penembusan jalur lebar negara yang berada pada tahap 66 peratus dan disokong keyakinan pengguna yang meningkat terhadap transaksi dalam talian. Cita rasa pengguna berubah seiring kemajuan teknologi ICT dan mudah membuat perbandingan harga dan transaksi membantu menggalakkan lagi pembelian secara dalam talian. Bagi memenuhi permintaan golongan muda, Yayasan Usahawan Baru (myNEF) dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain menjalankan beberapa siri bengkel dalam usaha untuk transformasi perniagaan tradisi kepada dalam talian. Peserta didedahkan mengenai teknik pemasaran dalam talian dengan penggunaan media sosial seperti Facebook dan Twitter. Pemasaran dalam talian satu elemen penting meningkatkan jualan bagi perniagaan dalam talian. Peserta kemudiannya berpeluang mendapatkan geran RM1,000 di bawah program Get Malaysian Business Online (GMBO); satu program di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Selain itu, golongan muda berpeluang untuk menjalankan perniagaan runcit ICT. myNEF dalam program DuIT (Distribution IT) juga mewujudkan peluang perniagaan bagi golongan muda. Tanpa perlu menggunakan modal yang besar, program ini direka agar ejen dapat manfaat seperti komisyen bulanan dengan hanya menjual perisian dan produk ICT tempatan.


Ejen ini akan dilatih menguasai kemahiran jualan, memahami produk dan pelanggan serta akan dilengkapkan dengan peralatan terminal pembayaran mikro bergerak. Ini akan memudahkan transaksi jualan produk dan perkhidmatan ICT tersebut dilakukan di mana-mana saja. Bermatlamatkan sebagai hab bagi semua produk ICT, program DuIT ini akan membantu mengurangkan kos jualan kepada syarikat pembangun perisian tempatan di samping meningkat potensi jualan di seluruh negara dengan sasaran 600 ejen jualan pada tahun ini. Program DuIT itu juga akan menggalakkan ejen memberikan khidmat tambah nilai kepada pelanggan mereka dengan menawarkan perkhidmatan lain seperti pakej jalur lebar, membaik pulih dan networking. Ini dapat mewujudkan perniagaan yang lestari bagi ejen di bawah program DuIT. Dengan sasaran pengguna daripada sektor kerajaan tempatan, perniagaan kecil dan sederhana serta pendidikan, perisian ditawarkan bermula dengan harga RM10 sebulan. Lebih 80 perisian ditawarkan dengan kadar komisyen 10 hingga 20 peratus setiap bulan untuk ejen jualan.   

Share this article
Follow