Media & Events

Pemuda UMNO buat aduan rasmi

10 Jul 2007, Utusan Malaysia
CYBERJAYA 10 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung tindakan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menyiarkan gambar palsu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan seorang wanita kononnya Altantuya Shaariibuu dalam laman blognya baru-baru ini. Pergerakan itu yang diwakili oleh Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin dan beberapa exco sayap kanan UMNO menyerahkan aduan tersebut kepada Pengerusi SKMM, Datuk Dr. Halim Shafie di pejabat suruhanjaya itu di sini. Khairy berkata, aduan tersebut dibuat bagi membolehkan SKMM bertindak ke atas Tian Chua yang disifatkan melampaui batas kerana menyiarkan gambar palsu dan mengaku bahawa ia adalah perbuatannya. ‘‘Saya difahamkan siasatan akan dilakukan ke atas Tian Chua di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. ‘‘Aduan itu adalah satu langkah penting kerana dalam sistem politik demokrasi, kita mesti ada batasan dan tidak boleh menyalahgunakan kebebasan Internet dan bersuara,” katanya kepada pemberita selepas membuat aduan dan mengadakan perbincangan bersama SKMM kira-kira satu jam di sini hari ini. Minggu lalu, Tian Chua mengaku bahawa dia mencipta gambar palsu yang mengaitkan Najib dengan seorang wanita kononnya Altantuya dan Abdul Razak dalam laman blog miliknya tetapi enggan meminta maaf. Tian Chua sebaliknya menyatakan gambar yang menggunakan teknik super imposed itu adalah satu khayalan dan satira. Khairy berkata, aduan itu adalah satu langkah proaktif UMNO apabila parti dan pemimpin-pemimpinnya difitnah kerana Pemuda UMNO ingin membuktikan bahawa negara ini mengamalkan sistem demokrasi yang matang dan bukannya menyerang peribadi seseorang serta menyalahgunakan kebebasan bersuara. ‘‘Pemuda UMNO setuju dengan dasar kerajaan tidak menyekat Internet tetapi dalam masa yang sama di bawah akta berkenaan ada peruntukan undang-undang boleh diambil ke atas mereka yang menyebarkan gambar palsu dengan niat jahat dan menyinggung perasaan orang tertentu. ‘‘Ia juga bukan saja menyakitkan hati malah ada pengakuan oleh penciptanya bahawa gambar itu adalah palsu. Ia bukan hanya menghina pemimpin kita tetapi mengganggu perbicaraan mahkamah. Oleh kerana isu ini memang sensitif serta mendapat perhatian umum, maka perlu ada tindakan,” katanya. Memandangkan isu penyiaran gambar palsu itu menarik perhatian umum, Khairy berharap SKMM dapat bertindak cepat dengan membuat siasatan rapi. ‘‘Kes ini mempunyai bukti yang jelas dan ada pengakuan daripada penciptanya bahawa ia memang benda yang palsu. ‘‘Kami sebagai ahli Pemuda UMNO dan rakyat Malaysia berasa sakit hati dengan tindakan Tian Chua dan kita buat aduan kerana dengan adanya aduan, SKMM boleh membuat siasatan,” katanya. Sementara itu, Halim berkata, pihaknya akan mempercepatkan siasatan kerana aduan mengenai gambar palsu tersebut mendapat perhatian orang awam. Ditanya sama ada tindakan boleh diambil sedangkan foto yang dikatakan sebagai Altantuya bukan gambar asli, beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada proses siasatan. Mengenai Tian Chua, Halim berkata, pemimpin PKR itu boleh dipanggil bagi membantu siasatan sekiranya diperlukan.
Share this article
Follow