Media & Events

Penembusan jalur lebar di Sabah hampiri sasaran 50 peratus

17 Dec 2012, Utusan Malaysia

KOTA KINABALU 16 Dis. - Kadar penembusan jalur lebar di Sabah pada masa ini telah berjaya mencapai 47 peratus, iaitu menghampiri sasaran 50 peratus yang ditetapkan kerajaan.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, berdasarkan pelbagai usaha yang dilakukan pihaknya, peningkatan mendadak pencapaian internet akan dapat dilihat di Sabah dalam waktu terdekat.

"Sebelum ini saya pernah mendengar laporan penembusan jalur lebar di Sabah agak menurun jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

"Sebenarnya selepas kami membuat tinjauan semula, perkara itu tidak begitu tepat kerana penembusan jalur lebar di Sabah sebenarnya menghampiri 47 peratus dan bukannya 34 peratus seperti diwar-warkan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis malam penghargaan industri Sabah di sini malam tadi.

{C}

Yang turut hadir, Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohd. Nazri Abdullah; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tuan Che Azemi Haron dan Pengarah SKMM Sabah dan Labuan, Jusily Elis.

Menurut Mohamed Sharil, perkiraan semula dibuat akibat kesilapan pengiraan awal yang turut mengambil kira warganegara asing di negeri ini.

"Dalam pengiraan semula ini kita mengambil kira dari segi liputan, kampung tanpa wayar, aktiviti pusat internet 1Malaysia dan sebagainya yang hanya melibatkan penduduk tempatan," katanya.

Sementara itu beliau berkata, dalam usaha menambah baik liputan di negeri ini jumlah menara pemancar akan ditingkatkan kepada 398 buah pada tahun hadapan.

Katanya, pihaknya juga menyasarkan 75 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan 3G pada tahun hadapan berbanding hanya 64 peratus pada tahun 2011.

Ditanya mengenai sasaran penembusan jalur lebar pada tahun hadapan beliau berkata, pihaknya tidak lagi melihat kepada sasaran tahap penembusan sebaliknya kepada kandungan dan juga pembangunan jalur lebar.

"Berdasarkan tinjauan masyarakat antarabangsa apabila sesebuah negeri mencapai penembusan lebih kurang 50 peratus yang penting ialah pembangunan dan penjanaan ekonomi menggunakan jalur lebar supaya kita dapat mencapai negara maju 2020," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sabah akan dapat menerima perkhidmatan 4G menjelang awal tahun depan dengan tumpuan diberikan kepada bandar-bandar besar sebelum diperluaskan secara berperingkat di seluruh negeri.

"Kami telah memberikan kebenaran kepada pihak industri untuk memulakan 4G secepat-cepatnya 1 Januari depan dan mereka kini sedang berlumba-lumba menyiapkan prasarana supaya dapat memperkenalkan teknologi 4G," ujarnya.

Share this article
Follow