Media & Events

Penembusan jalur lebar Sarawak baik

05 Sep 2013, The Borneo Post

 

KUCHING: Sarawak kini sudah mencapai 55 peratus kadar penembusan jalur lebar, yang disifatkan sebagai satu pencapaian amat baik.

Menurut Ketua Wilayah Sarawak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Adiman Ajem, pencapaian yang membanggakan itu merupakan hasil usaha kedua-dua kerajaan negeri dan pusat selain pemainpemain industri berkaitan.

“Kadar penembusan jalur lebar di Sarawak pada ketika ini sudah mencapai 55 peratus dan itu merupakan satu pencapaian yang amat baik dan membanggakan.

“Namun pencapaian ini mustahil dapat dikecapi tanpa kerjasama erat pemain industri komunikasi dan multimedia serta agensi kerajaan terutama di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri SKMM 2013 yang dihadiri Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini, semalam.

Tambah Adiman, SKMM mempunyai tanggungjawab yang penting untuk membantu memajukan industri komunikasi dan multimedia khasnya di Sarawak.

Selain itu ujar beliau, SKMM bekerjasama erat dengan pemainpemain industri untuk mencapai tujuan itu.

“Majlis kita pada hari ini merupakan antara usaha SKMM sebagai peneraju industri komunikasi dan multimedia.

“Bukan sahaja dalam pembangunan industri tetapi juga menggalakkan industri memainkan peranan mereka dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat setempat,” tegasnya.

Majlis yang dihadiri oleh Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais itu turut menyaksikan Awang Tengah menyampaikan sumbangan daripada industri komunikasi dan multimedia dan duit raya kepada warga emas dari Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching.

Program diadakan untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) SKMM selain mengeratkan silaturahim antara penyedia komunikasi dan multimedia di Sarawak.

Antara syarikat yang menyumbang semalam adalah TM Berhad, DiGi Telecommunications Sdn Bhd, Sacofa Sdn Bhd, Danawa Resources Sdn Bhd dan Maxis Communications Berhad.

Sementara itu SKMM menyumbang televisyen LED berukuran 23 inci dan dekoder Astro Njoi yang mempunyai siaran percuma sebanyak 22 rancangan TV serta 20 saluran radio.

Share this article
Follow