Media & Events

Penganggur didenda RM10,000

14 Dec 2017, bernama

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur didenda RM10,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Siber di sini, hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri di laman sosial Facebook, pada Oktober tahun lalu.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shahriman Shahir Omar, 39, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah secara sedar melakukan kesalahan itu pada 11 Oktober 2016 dengan niat untuk menyakiti hati orang lain menggunakan akaun Facebook 'Mohd Shahriman Omar' di pautan 'https://www.facebook.com/mohammed.sallehuddin.1'

Pautan itu kemudian dibaca pada 11.42 malam, 21 April 2017 di No A-1110, Tingkat 11, Menara A, Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, di sini.

OKS yang berkelulusan bidang perubatan dari luar negara itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Mohd Sophian Zakaria manakala OKS yang membayar denda itu diwakili peguam Adlizan Noor.

Terdahulu, Adlizan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya atas alasan OKS telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

"OKS merafak sembah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan memohon ampun," katanya sambil memberitahu OKS sebelum ini pernah mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan di luar negara.

"OKS pulang ke negara ini dan berkhidmat sebagai doktor namun tidak dapat meneruskan perkhidmatannya kerana mentalnya agak terganggu dan tertekan.

“Susulan itu, OKS perlu membayar semula kepada JPA kira-kira RM 1 juta," katanya yang turut memberitahu anak guamnya kini menjaga dusun durian milik bapa OKS di Johor.

Mohd Sophian bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kes itu.

"Posting yang dibuat OKS membabitkan Yang Di-pertuan Agong dan Perdana Menteri menggunakan perkataan yang sangat kasar, keji dan biadap. Perbezaan fahaman politik tidak mewajarkan posting yang jelik sebegini. Ini menunjukkan OKS langsung tidak mempunyai rasa hormat dan taat pada ketua negara," katanya. 

Share this article
Follow