Media & Events

Penggiat Kreatif Boleh Memasarkan Keunikan Malaysia Kepada Dunia

18 Oct 2013, Bernama
CYBERJAYA, 17 Okt (Bernama)-- Penggiat kandungan kreatif di negara ini mempunyai potensi besar menjual 'Keunikan Malaysia' di pasaran antarabangsa, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi.

Beliau berkata, pengusaha industri kandungan kreatif di negara ini masih belum meneroka dan mengeksplotasi sepenuhnya keunikan negara termasuk; keindahan alam sekitar dan tempat-tempat menarik, kekayaan pelbagai budaya, adat dan tradisi pelbagai kaum serta toleransi agama.

Katanya, dalam usaha Malaysia menjadi 'hab kreatif Asia', penggiat kandungan kreatif juga perlu mempelajari cara memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa dan tidak hanya terhad untuk pasaran tempatan sahaja.

"Syarikat produksi tempatan perlu menghasilkan produk yang boleh dipasarkan di peringkat global dan bukan untuk pasaran tempatan atau sesuatu kaum sahaja.

"Pengusaha industri kandungan kreatif juga perlu berani untuk meneroka pelbagai aspek dalam pasaran terutama membabitkan maklumat dan idea baharu jika mahu bersaing dalam arena global industri berkenaan," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Katanya, kualiti kandungan kreatif seperti penerbitan filem, rancangan televisyen, dokumentari, seni reka, animasi dan kandungan digital mampu mempamerkan keupayaan negara di mata dunia.

Menurutnya, Malaysia perlu mencontohi Korea Selatan dan Jepun bagi menghasilkan produk kreatif yang berjaya menembusi pasaran eksport dunia yang dikuasai Hollywood dan Bollywood.

Katanya kerjasama strategik penyedia kandungan tempatan dengan syarikat luar negara juga boleh membuka jalan kepada rakyat tempatan memahami pasaran global dengan lebih baik sekali gus menjana pendapatan kepada negara.

Ketua Bahagian Pengurusan Jalur Lebar SKMM, Nor Akmar Shah Minan pula berkata, sebilangan kecil pengusaha industri kreatif tempatan kini mempunyai jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa bagi menghasilkan dan seterusnya memasarkan produk kreatif mereka.

"Kita yakin melalui kerjasama ini, produk-produk tempatan yang berkualiti akan diterima baik oleh masyarakat dunia," katanya.

Jelasnya, kejayaan syarikat produksi tempatan memasarkan pelbagai produk tempatan bernilai USD65 juta di Pameran Perdagangan Audio Visual Dunia (MIPCOM)2013 di Cannes, Perancis baru-baru ini jelas membuktikan keupayaan pengusaha tempatan menembusi pasaran global.
Share this article
Follow