Media & Events

Pengguna Media Sosial Harus Tingkat Kawalan Kendiri - SKMM

04 Nov 2013, Bernama
CYBERJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Pengguna media sosial di negara ini harus mempertingkat kawalan kendiri agar lebih bertanggungjawab dalam mengakses dan menggunakan kandungan multimedia.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan Industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd Yasin berkata kawalan kendiri penting untuk menangani penyalahgunaan media sosial yang semakin serius di negara ini.

Beliau berkata pengguna harus dididik agar tidak menggunakan media sosial untuk mencetuskan sentimen perkauman, menabur fitnah, meracuni fikiran masyarakat sehingga merosakkan ketenteraman awam.

"Walaupun tiada kawalan kandungan atau tapisan undang-undang dalam media sosial, pengguna media sosial seperti Facebook dan Twitter harus mengamalkan kawalan kendiri terhadap kandungan dan maklumat yang dikongsi serta tidak menghantar sesuatu kandungan negatif.

"Kini, orang ramai terdedah kepada kandungan multimedia yang lebih luas maka semua harus memainkan peranan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam memastikan masyarakat kita, khususnya generasi muda bebas daripada kandungan negatif dan berbahaya," katanya kepada Bernama.

Zulkarnain berkata ibu bapa perlu memainkan peranan melatih anak-anak untuk mengamalkan kawalan kendiri ketika mengakses internet.

"Zaman sekarang kanak-kanak didedahkan kepada liputan kandungan yang lebih luas. Maka, kawalan kendiri harus bermula di rumah agar ibu bapa boleh memantau aktiviti pelayaran internet dan membimbing anak-anak untuk menggunakannya ke arah kebaikan," katanya.

Zulkarnain berkata pengguna media sosial juga perlu menguasai kemahiran untuk melaporkan terus kepada pengendali mengenai kesalahan-kesalahan dalam media sosial bagi melindungi diri dan penguna lain daripada menjadi mangsa jenayah siber.

"Tahap kemahiran mengendalikan kandungan masih belum memuaskan...sehubungan itu kerajaan telah melancarkan kempen 'Klik dengan Bijak' untuk mendidik dan memberi kesedaran berterusan kepada masyarakat agar bertanggungjawab, beretika dan mengutamakan keselamatan ketika melayari internet," katanya.

Selain itu, Zulkarnain berkata pengguna harus berwaspada dan meneliti sumber maklumat di media sosial bagi memastikan kesahihannya sebelum berkongsi dan disebarkan.

"Berdasarkan satu kajian, 35 peratus responden percaya kandungan yang disiarkan dalam Facebook adalah tepat dan benar. Ini merupakan satu angka yang membimbangkan kerana ramai masih tidak boleh bezakan apa yang benar dan betul," katanya.
Share this article
Follow