Media & Events

Penyebar berita palsu tidak terlepas hukuman

26 Oct 2017, Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Penyebar maklumat atau berita palsu di laman-laman sosial tidak akan terlepas daripada sebarang tindakan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, sehingga kini sudah 67 kes penyebaran berita palsu disiasat.

"Daripada jumlah itu, lima kes sudah dihadapkan ke mahkamah.

"Kementerian tidak pernah memandang ringan terhadap penularan berita palsu. Dengan adanya Akta Multimedia 1998, mereka yang menyebar berita palsu hingga mengganggu ketenteraman negara akan diambil tindakan," katanya yang menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) di Dewan Rakyat, hari ini.

Salleh berkata, rakyat kini sudah mengambil langkah bijak untuk mendapatkan kesahihan sesuatu berita dengan melayari portal Sebenar.My.

"Sejak dilancarkan pada Mac lalu sudah dilayari seramai 12.75 juta.

"Ia menunjukkan perkembangan positif apabila ramai mula menyemak kesahihan berita yang menular di laman sosial," ujarnya.

Beliau berkata, portal yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu merupakan antara usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu bagi memastikan masyarakat menerima berita yang benar-benar sahih.

Dalam pada itu, Salleh berkata, kementerian sentiasa memantau semua maklumat termasuk yang data dari luar negara.

"Kita sentiasa menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia bagi memastikan setiap berita palsu tidak disebar," ujarnya.
 

--TAMAT--

Share this article
Follow