Media & Events

Penyelarasan KPKK Dapat Mantapkan Sektor Komunikasi Negara - KSU

15 May 2013, Bernama
 KUALA  LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Penyelarasan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia dapat memantapkan sektor komunikasi negara seiiring dengan kewujudan media baharu.
 
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata langkah tersebut juga diyakini dapat meningkatkan mutu dan prestasi kerja warga kementerian itu kerana skop tugas yang kini lebih kecil.
 
"Dengan adanya kementerian baharu ini kita dapat kembangkan usaha dan semestinya memberi impak kepada pemantauan media baharu," katanya kepada Bernama di sini.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu mengumumkan KPKK diselaras kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diterajui Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
 
Pelantikan Ahmad Shabery itu ibarat sirih pulang ke gagang kerana beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai Menteri Penerangan pada Mac 2008 hingga 2009 dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan semasa pembubaran kecil Kabinet pada awal 2009.
 
Menjelas lanjut, Kamaruddin berkata jabatan dan agensi yang sebelum ini terletak di bawah sektor penerangan dan komunikasi akan kekal di bawah kementerian itu, kecuali jabatan serta agensi di bawah sektor kebudaayan.
 
Beliau berkata jabatan dan agensi di bawah sektor kebudayaan akan diletakkan di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang diterajui Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
 
Katanya satu mesyuarat akan diadakan esok dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menentukan secara lebih tepat kedudukan jabatan serta agensi terbabit.
 
Sebelum ini, terdapat 12 jabatan di bawah KPKK iaitu Jabatan Penyiaran; Jabatan Penerangan; Jabatan Filem Negara; Jabatan Hal Ehwal Khas; Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR); Arkib Negara; Perpustakaan Negara Jabatan Muzium; Jabatan Warisan Negara; Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara; Istana Budaya dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi.
 
Selain itu, enam agensi turut bernaung di bawah kementerian iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama); Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas); Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara); Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.
Share this article
Follow