Media & Events

Perkhidmatan Pos Perlu Transformasi, Jadi Medium Pacu Pertumbuhan E-Dagang

08 Oct 2015, bemama
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Perkhidmatan Pos Malaysia perlu melaksanakan transformasi untuk terus kekal relevan bagi menampung keperluan perkhidmatan penghantaran yang kian pesat, termasuk pertumbuhan e-Dagang.

Ketua Bahagian Pos dan E-Dagang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohamed Zaidi Abdul Karim berkata perkhidmatan pos yang kini tertumpu kepada perkhidmatan fizikal melalui posmen dan pejabat pos, mempunyai peluang besar untuk mengembangkan peranannya dalam alam siber.

"Sekarang ini, peranan Pos Malaysia dalam alam maya masih belum menyerlah. Kekuatan dalam alam maya ini yang sedang kita bina supaya masa depan perkhidmatan Pos dalam domain seperti ini dapat diperkukuh," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditemu bual Bernama Radio24 sempena Hari Pos Sedunia esok, di sini.

Katanya selari dengan perkembangan pesat sektor perniagaan dalam talian, perkhidmatan pos turut dilihat sebagai rangkaian strategik untuk memacu perkembangan sektor berkenaan.

"Penggunaan perkhidmatan ini bukan hanya meningkat pada musim perayaan, malah digunakan oleh peniaga dalam talian setiap hari untuk mengepos barang jualan mereka," katanya.

Mohamed Zaidi berkata SKMM sebagai pengawal selia sektor pos negara mahu memastikan Pos Malaysia relevan dengan dunia digital masa kini.

"Kita juga mahu memastikan perkhidmatan penghantaran barang bukan hanya di bandar sahaja tetapi ke seluruh pelusuk negara termasuk di pedalaman Sabah dan Sarawak," katanya.

Sehubungan itu, katanya sistem inklusif perlu diwujudkan di seluruh negara supaya penduduk di luar bandar juga dapat berniaga secara dalam talian dan tidak tertumpu kepada penduduk di bandar.

Bagi menampung keperluan itu, beliau berkata Pos Malaysia dianggar memerlukan kira-kira 50,000 pekerja menjelang 2025.
Share this article
Follow