Media & Events

Perkhidmatan Telekomunikasi Malaysia Capai Spektrum 700 Mhz Pada 2018

03 Dec 2013, Bernama
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia akan mencapai spektrum 700 megahertz (MHz) menjelang tahun 2018 bagi meningkatkan tahap perkhidmatan mereka kepada pelanggan, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Beliau berkata pada masa ini, tahap spektrum atau frekuensi 700 MHz tersebut digunakan oleh perkhidmatan penyiaran dan terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan sebelum perkhidmatan telekomunikasi mengaplikasikannya.

"Setelah berlakunya proses pembersihan spektrum oleh sistem penyiaran, ia dapat digunakan oleh sistem telekomunikasi," kata beliau pada majlis perkongsian maklumat "Staying Ahead in Telco Game" di sini Selasa.

Beliau berkata penggunaan spektrum 700 MHz itu hanya akan berlaku dengan persetujuan negara-negara jiran.

Setakat ini tidak ada syarikat telekomunikasi negara luar yang menggunakan spektrum pada paras 700 MHz, katanya.

Tanpa mendedahkan kadar spektrum negara pada masa ini, Mohamed Sharil berkata penggunaannya di Malaysia adalah setaraf dengan negara-negara maju dari segi pemberian dan penggunaan spektrum tersebut.

Beliau berkata cara pengendalian spektrum berkenaan adalah sama dan setaraf mengikut piawaian daripada syarikat telekomunikasi antarabangsa.

"SKMM mahu menggalakkan orang ramai mengunakan perkhidmatan yang ada antaranya perkhidmatan jalur lebar dengan sebaik mungkin untuk menjana ekonomi negara, dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan kasar negara," katanya.

Bagi prospek tahun hadapan, Mohamed Sharil yakin sektor telekomunikasi di Malaysia akan lebih maju dengan persaingan sihat syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini.

"Dari segi penggunaanya juga akan lebih maju dengan wujudnya sistem perbankan mudah alih. Kerajaan juga akan turut memperkenalkan sistem e-kerajaan bagi orang ramai membuat pengaduan, menyemak keputusan peperiksaan dan lain-lain lagi," tambahnya.
Share this article
Follow