Media & Events

Pertemuan Twtup Johor meriah

30 Sep 2013, Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU 29 Sept. - Pertemuan pengguna laman blog mikro Twitter (Twtup Johor) yang diadakan serentak dengan program Klik Dengan Bijak! oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Pusat Informasi Iskandar Malaysia (IMIC) di Danga Bay semalam berlangsung meriah dengan sambutan kira-kira 3,500 hadirin.

Pengurus projek, Syed Faliq Fahmie Syed Farouq, 29, berkata, jumlah itu merupakan kejayaan selepas pertemuan pertama Mac tahun lalu dan penganjuran kali ini melibatkan pelbagai aktiviti seperti perlumbaan tamiya, cabaran permainan video Playstation 3 dan pelbagai lagi termasuk permainan tradisional.

"Turut menghangatkan lagi Twtup Johor adalah kehadiran 50 buah motosikal berkuasa besar dan kereta mewah dari Kuala Lumpur, Johor dan Singapura. Pertemuan ini mengumpulkan anak muda dengan pelbagai aktiviti dan juga keusahawan muda yang mengusahakan soto, kacang pool, laksa johor, kedai kopi Chaiwala dan pelbagai lagi.

"Kehadiran artis seperti Waris dan kumpulan tempatan Tiga Swagger yang mengadakan konsert pada sebelah malam turut menjadi tarikan kepada anak muda, begitu juga dengan Elfira Loy sebagai salah seorang artis yang aktif menggunakan media sosial seperti Twitter," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Twtup Johor kali ini turut dihadiri bukan sahaja pengguna Twitter dan media sosial tempatan malah dari Singapura.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Jangkauan dan Penglibatan SKMM, Eneng Faridah Iskandar berkata, Klik Dengan Bijak! mengadakan lebih 700 aktiviti di seluruh negara sejak mula dilancarkan pada 1 Julai tahun lalu melalui enam pejabat wilayah di seluruh negara.

Menurutnya, aktiviti yang diadakan hampir setiap minggu itu melibatkan tiga teras utama iaitu selamat, waspada dan tanggungjawab dalam program yang bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna agar beringat sebelum memuat naik atau memuat turun sesuatu daripada internet.

"Klik Dengan Bijak! juga bertujuan menyedarkan pengguna tentang rasa tanggungjawab dalam talian dengan menjadi diri mereka sendiri di alam realiti dan alam siber. Ia bukan perkara rumit kerana penghayatan terhadap Rukun Negara itu sendiri penting untuk diaplikasikan dalam kehidupan dan internet," katanya.

Dalam perkembangan lain, Eneng memberitahu, terdapat kira-kira 1,200 aduan mengenai jenayah siber dilaporkan kepada SKMM sepanjang tahun ini dalam bilangan yang disifatkannya sebagai normal dan akan disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Share this article
Follow